SPRM serah notis isytihar harta dipercayai bernilai RM3 bilion kepada 22 ahli keluarga, sekutu arwah Tun Daim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menyiasat keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bagi mengetahui status kedudukan kewangan dan harta benda milik keluarganya.
Semalam, seramai 22 individu dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat kepada Daim dan isterinya Naimah Khalid diberikan notis pengisytiharan harta.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, notis mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dibuat bagi mengesan dan pengesahan pemilikan aset dianggarkan bernilai RM3 bilion di 11 negara.
Menurut agensi antirasuah itu, pihaknya melalui Bahagian Operasi Khas (BOK) kini memfokuskan kepada penyitaan dan pelucuthakan aset luar biasa berkaitan Daim, Naimah, ahli keluarga dan rangkaian sekutunya.
“Berdasarkan maklumat siasatan terkini hasil kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasa di United Kingdom iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), SPRM telah mengenal pasti pemilikan aset-aset luar biasa bernilai tinggi di 11 negara.
“Ia di United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika, dengan anggaran nilai melebihi RM3 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan tiga kediaman mewah di London antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik Naimah dan keluarga, dibekukan SPRM membabitkan nilai berjumlah GB£132 juta (RM758.2 juta).
Siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
SPRM menjelaskan permohonan bantuan perundangan bersama (MLA) kepada pihak berkuasa United Kingdom (UK) sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara (AGC) manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Permohonan sitaan 12 akaun bank di Singapura yang bernilai RM540 juta manakala empat akaun bank serta pelaburan dianggarkan bernilai RM1.15 bilion di Jersey telah difailkan di mahkamah tinggi.
“Permohonan maklumat lanjut berkaitan aset di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Itali dan Jepun sedang dikemukakan menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, IACCC dan permohonan MLA melalui AGC.
“Ia bagi membolehkan tindakan lanjut penyitaan dan pelucuthakan aset dilaksanakan secara sah dan menyeluruh,” katanya.
Berhubung perkembangan sitaan Menara Ilham, SPRM berkata pihaknya akan merakamkan keterangan anak kedua Daim dan Naimah iaitu Muhammed Amin Zainuddin yang kini berada di UK.
Pada 14 Jun lalu, SPRM telah merakam keterangan Naimah dan anak sulung pasangan itu Muhammed Amir Zainuddin berkaitan pemilikan aset-aset luar biasa yang tidak diisytiharkan.
“Ketiga-tiganya pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, syarikat memiliki majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenalpasti sebagai pemilik manfaat kepada Menara Ilham,” katanya.
- MADANI NEWS