SPRM mohon wang tunai RM169 juta milik Ismail Sabri dilucut hak

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan permohonan melucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
SPRM yang diwakili timbalan pendakwa raya selaku pemohon memfailkan permohonan itu hari ini di Mahkamah Sesyen dengan menamakan bekas setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dan Ismail sebagai responden pertama serta kedua.
Selain ringgit Malaysia berjumlah lebih RM14 juta, wang tunai itu turut membabitkan jutaan dolar dalam pelbagai mata wang asing, menurut laporan Bernama.
SPRM memohon perintah mahkamah melucut hak wang berkenaan yang disita daripada Anuar kepada kerajaan Malaysia.
Wang yang dimohon dilucut hak ialah RM14,772,150; SGD6,132,350 (dolar Singapura); USD1,461,400 dan CHF3 juta (swiss franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (yen); GBP50,250; NZD44,600; AED34,750,000 (emirati dirham), dan AUD352,850.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas berpuas hati bahawa wang disimpan Anuar adalah milik Ismail dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
SPRM turut memohon perintah lain yang difikirkan sesuai mahkamah.
Pada 3 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam sidang media, berkata agensi antirasuah itu akan memohon kepada mahkamah untuk melucutkan harta dirampas berjumlah RM170 juta.
Sebelum ini, Ismail telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk baht, riyal, pound sterling, won, euro, swiss franc, dan yuan serta menyita 16kg jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail yang ditahan Februari lalu. – MADANINEWS