RM 2.65 bilion hangus, penipuan online terus berleluasa | Madani News

RM 2.65 bilion hangus, penipuan online terus berleluasa

RM 2.65 bilion hangus, penipuan online terus berleluasa

JUMLAH kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah RM2.65 bilion sejak 2022 sehingga Jun 2025. Angka ini didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurutnya, kerugian tersebut meningkat sebanyak 43 peratus kepada RM1.22 bilion pada 2023 berbanding RM851 juta pada 2022. Tentunya trend ini sangat membimbangkan.

Bayangkan betapa banyak wang hangus ‘dihisap’ oleh penipu dalam talian, biasa dikenali sebagai ‘scammers’. Peningkatan kerugian menunjukkan gejala penipuan bukan menurun, tetapi semakin ramai terpedaya dengan penyangak dalam talian.

Sayangnya, wang RM2.65 bilion lesap begitu sahaja! Wang sebanyak ini boleh diguna untuk membina masjid, sekolah, klinik dan pelbagai kemudahan lain yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Kenapa trend penipuan dalam talian berterusan? Kenapa masih ramai terjerumus ke dalam perangkap penipu? Bagi penulis, punca utama kerana orang ramai sendiri yang mudah mudah terpedaya. Lantaran rasa takut atau panik, mereka termakan kelicikan penipu.

Kisah penipuan dalam talian sudah terlalu kerap disiarkan dalam akhbar atau media sosial. Gaya dan cara penipu memperdaya juga sudah kerap didedahkan oleh pihak berkuasa seperti polis, sebagai panduan dan ingatan.

Hampir saban masa ada sahaja laporan penipuan oleh scammers, melibatkan kerugian bukan sahaja puluhan atau ratusan ribu ringgit, malah hingga mencecah jutaan ringgit.

Yang menjadi mangsa pula ramai terdiri daripada golongan profesional dan cerdik pandai seperti peguam, doktor, jurutera, akauntan, pegawai berjawatan tinggi, pensyarah dan lain-lain.

Sepatutnya mereka dalam kelompok ini mampu berfikir dengan baik dan menilai salah atau betul serta tidak mudah terpedaya. Sayangnya mereka jadi sasaran utama penipu kerana ndaian mereka banyak wang.

Kerana itu juga penipu pandai mencari dan menyasarkan golongan pesara atau baharu bersara kerana sedar mereka memiliki banyak wang persaraan. Kelompok ini adalah warga emas yang mudah jadi mangsa.

Pihak polis sudah seringkali memberi ingatan bagaimana scammers beroperasi. Mereka menyamar sebagai pegawai dari mahkamah, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pos Laju, bank dan sebagainya.

Mereka menelefon bakal mangsa dan memberitahu mangsa telah melakukan kesalahan seperti terlibat pengubahan wang haram, memiliki barangan haram menyalahi undang-undang, mempunyai tunggakan cukai, kesalahan imigresen dan sebagainya.

Ramai cepat panik dan gusar apabila menerima panggilan sedemikian walau pun sedar tidak ada melakukan kasalahan seperti disebut. Kerana itu apabila penipu menawarkan untuk membantu, mangsa menerima.

Tiada langsung rasa syak, tiada soal jawab sekali pun apabila diminta memindahkan wang. Mereka hanya mahu terlepas daripada kesalahan yang tidak pun mereka lakukan. Akhirnya wang melayang.

Selain itu ada juga penipuan dalam bentuk tawaran pelaburan. Dengan modal sedikit boleh memperoleh keuntungan berkali ganda dalam tempuh singkat. Untuk meyakinkan bakal pelabur, ikon popular seperti artis dan tokoh agama digunakan.

Orang ramai yang meminati artis atau tokoh agama tersebut mudah tertarik. Tetapi semua ini sekadar mengabui mata. Secara logiknya mana ada pelaburan sedikit beroleh untung besar dalam waktu singkat. Namun ramai terpedaya.

Semua yang didedahkan mengenai penipuan dalam talian, juga nasihat polis, tidak diajadikan iktibar dan tidak diambil ingatan. Kerana itu gejala penipuan berterusan.

Pihak polis telah memberi ingatan asas yang mudah, usah layan panggilan daripada nombor tidak dikenali. Tetapi ramai suka melayan hingga terjebak. Usah tertipu dengan tawaran pelaburan tidak sahih, tetapi tetap ada yang terpedaya.

Oleh itu waspada dan ingat. Jangan mudah panik apabila menerima panggilan tidak dikenali. Semak terlebih dahulu dengan jabatan berkenaan untuk kesahihan. Urusan rasmi dan penting kerajaan atau swasta biasannya tidak dilakukan melalui telefon, tetapi surat.

Juga jangan masuk pelaburan yang tidak sahih. Sudah ramai terkena. Pastikan diri sendiri tidak jadi salah seorang daripada mereka. Masuklah pelaburan yang diluluskan atau disahkan tulen oleh pihak berkuasa.

Ikut nasihat pihak berkuasa dalam ‘melayan’ scammers. Pada masa sama gunakan kepintaran agar tidak mudah terpedaya. Scammers takut dengan orang cerdik! Ingat jangan sampai wang melayang. Sekali terbang tidak mudah diperoleh kembali.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews