“Malaikat pun lari malam” – Zahid mohon maaf, ulama anggap ucapan tidak wajar

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas kenyataannya yang mengaitkan malaikat dalam ucapan politik, selepas video petikan ucapannya yang tular itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kalangan agamawan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Zahid menjelaskan kenyataan tersebut diucapkannya dalam suasana emosi ketika mengenang ujian yang dilaluinya selepas kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Namun, beliau mengakui bahawa perbandingan yang dibuat boleh menimbulkan kekeliruan.
“Saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf kepada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya sambil menzahirkan keinsafan agar dirinya dan semua pihak terus memelihara adab serta akidah dalam bertutur.
Sebelum itu, petikan ucapan Zahid dalam satu program tertutup menjadi tular apabila beliau berkata:
“Ditakdirkan jika Allah memerintahkan malaikat untuk menjadi presiden (UMNO), malaikat pun lari malam. Tapi tidak Zahid Hamidi yang tetap mempertahankan UMNO.”
Ucapan itu mendapat reaksi segera daripada tokoh agama, termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang menyifatkannya sebagai satu kenyataan yang tidak wajar dan boleh memberi kesan negatif terhadap pemahaman umat Islam.
“Adalah tidak sepatutnya mengaitkan malaikat dalam ucapan politik. Ia kedengaran seperti menyombong diri pada tahap yang tinggi dan bagaikan mencabar kekuasaan Allah,” tegas beliau.
Walaupun yakin Zahid tidak berniat meremehkan kedudukan malaikat atau mempermainkan agama, Mohd Asri menyeru agar ucapan tersebut diperbetulkan secara terbuka dan Zahid mengambil sikap lebih tawaduk.
Turut memberikan pandangan tegas ialah Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) melalui kenyataan ketuanya, Ahmad Yahaya, yang menganggap kenyataan Zahid sebagai menggambarkan kesombongan diri serta memberikan konotasi negatif terhadap malaikat yang menurut Islam adalah makhluk yang taat sepenuhnya kepada perintah Allah.
“Ucapan tersebut tidak sewajarnya keluar daripada seorang pemimpin, apatah lagi melibatkan unsur perbandingan dengan zat dan makhluk yang dimuliakan oleh agama,” ujar Ahmad Yahaya.
DUPP turut menggesa agar semua pemimpin politik berhati-hati apabila menyampaikan ucapan, khususnya apabila menyentuh nama Allah, malaikat, dan perkara berkaitan agama agar tidak disalah tafsir atau menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews