Fahmi Reza Sedia Saman Kerajaan Berhubung ‘Kesilapan’ Sekatan Pergerakan

PEREKA grafik dan aktivis, Fahmi Reza, menyatakan kesediaannya untuk menyaman kerajaan dan pihak berkuasa susulan insiden beliau dilarang keluar negara semalam, yang disifatkannya sebagai satu ‘kesilapan’ yang menafikan hak kebebasan bergeraknya.
Dalam satu kenyataan, Fahmi mengecam tindakan pihak berkuasa yang didakwanya tidak bertanggungjawab atas insiden berkenaan, sebaliknya hanya menuding jari kepada pihak lain.
“Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambil tanggungjawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat,” katanya.
Fahmi turut membidas kenyataan pihak berkuasa yang mendakwa tiada sekatan rasmi dikenakan terhadapnya.
“Korang senang sahaja cakap tiada sekatan rasmi, tapi realitinya aku tetap kena sekat semalam. Aku tetap tak dapat ke luar negara dan dinafikan hak aku sebagai rakyat,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa tidak kebal dan menyatakan bahawa sudah tiba masanya rakyat mengambil tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan kuasa.
“Kerajaan dan pihak berkuasa bukan kebal. Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat.”
“Korang selalu suruh aku ‘gunakan saluran yang betul’, kan? Okay, kita jumpa di mahkamah,” katanya lagi.
Semalam, Fahmi mendakwa beliau dihalang menaiki penerbangan ke Singapura di Terminal 2, KLIA, selepas dimaklumkan oleh pegawai imigresen bahawa namanya telah disenarai hitam.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan bahawa kekeliruan dalam proses semakan di pintu keluar negara menyebabkan arahan sekatan tidak tepat dikeluarkan ke atas Fahmi. Menurutnya, tiada sekatan rasmi dikenakan, namun nama Fahmi berada dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman susulan siasatan polis yang masih berjalan.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara meneliti larangan tersebut.
“Pihak polis perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” menurut kenyataan itu, sambil memaklumkan bahawa perdana menteri akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews