Berkorban di Aidiladha: Maritim Malaysia sentiasa bersedia untuk misi carilamat di perairan negara

KETIKA rakyat Malaysia bersiap menyambut Hari Raya Aidiladha dengan ibadah dan keluarga, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus kekal di barisan hadapan, mempertaruhkan masa, tenaga dan nyawa demi menyelamatkan insan yang mungkin tidak pernah mereka temui.
Tugas utama ini merangkumi pelaksanaan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di seluruh perairan negara, di bawah mandat Seksyen 6(a) dan 6(b), Akta APMM 2004 (Akta 633), serta diperkuat melalui arahan NADMA no.1 dan rujukan National SAR Manual (NAMSAR).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, berkata tiada istilah “hari cuti” bagi pasukannya kerana isyarat kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Sehingga 31 Mei 2025, Maritim Malaysia telah melaksanakan 108 operasi SAR, menyelamatkan 203 daripada 251 mangsa terlibat. Malangnya, 36 nyawa terkorban, manakala 12 lagi masih belum ditemui,” jelas beliau.
Untuk tahun 2024 keseluruhan, agensi itu merekodkan 226 kes CARILAMAT dengan 1,259 mangsa berjaya diselamatkan daripada 1,348 yang terlibat.

Selain misi menyelamat, Maritim Malaysia turut melaksanakan program Preventive SAR secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran awam, khususnya dalam komuniti maritim. Pendekatan ini merangkumi taklimat, ceramah, pameran dan dialog bersama nelayan di seluruh negara.
Sebagai penghargaan terhadap jasa ini, 6 Jun diangkat sebagai Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) sejak 2021 – tarikh yang memperingati pemindahan tugas penyelaras SAR daripada Jabatan Laut Malaysia kepada Maritim Malaysia pada tahun 2006.
HKKM 2025 akan diraikan secara besar-besaran pada 28 Jun ini di Tanjung Harapan, Selangor, dengan pelbagai pengisian termasuk demonstrasi menyelamat, program “Berapung Untuk Hidup”, pameran keselamatan, jualan Rahmah, dan sesi libat urus bersama masyarakat.
Sambutan tahun ini kekal dengan tema “Berapung Untuk Hidup”, selari dengan mesej keselamatan utama – bahawa setiap nyawa di laut amat berharga dan usaha menyelamat tidak mengenal waktu mahupun musim perayaan.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews