Zafrul patut letak jawatan menteri juga - "Datang tak diundang, pergi pun tak dikesali," kata Akmal | Madani News

Zafrul patut letak jawatan menteri juga – “Datang tak diundang, pergi pun tak dikesali,” kata Akmal

Zafrul patut letak jawatan menteri juga – “Datang tak diundang, pergi pun tak dikesali,” kata Akmal
Muhammad Akmal Saleh

KETUA Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh berkata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz seharusnya turut melepaskan jawatan menterinya selepas membuat keputusan untuk keluar daripada Umno untuk menyertai PKR.

Menerusi hantaran di Facebook, Akmal berkata ahli UMNO “terlalu gembira” dengan langkah Zafrul tersebut, dan menyatakan dia pada asalnya menyertai parti itu tanpa diundang.

“(Zafrul) sepatutnya letak jawatan menteri sekali.

“Dan kepada PKR, semoga boleh menerima permohonan masuk Tengku Zafrul dan ia boleh menjadi bukti betapa ‘setianya’ persahabatan antara UMNO dan PKR.

“Orang UMNO terlalu gembira dengan berita ini. Datang tak diundang, pergi pun tak dikesali,” kata Akmal.

Zafrul yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini memaklumkan dia telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Umno dan menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR.

Zafrul yang merupakan seorang senator berkata keputusan itu tidak dibuat dengan mudah dan dia telah mendapatkan pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan di luar mahupun dalam UMNO, termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO. 

“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Umno Kota Raja dan ahli UMNO,” katanya.

Dia berkata ia bukan keputusan yang mudah memandangkan dia telah menjadi ahli UMNO sejak 1997.

Zafrul turut memaklumkan dia telah menyampaikan hasratnya untuk menyertai PKR kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim dan setiausaha agungnya, Fuziah Salleh.

Perkembangan ini berlaku di tengah spekulasi baharu mengenai rombakan kabinet, selepas dua menteri daripada PKR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad – meletakkan jawatan mereka.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews