Vesel tempatan bersama 21 kru warga asing ditahan di Pulau Tioman | Madani News

Vesel tempatan bersama 21 kru warga asing ditahan di Pulau Tioman

Vesel tempatan bersama 21 kru warga asing ditahan di Pulau Tioman

SEBUAH vesel nelayan tempatan bersama 21 kru warga asing ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen kira-kira 7.5 batu nautika barat laut Pulau Tioman, pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata vesel kelas C2 dan kru termasuk tekong berusia 20 hingga 57 tahun itu ditahan menerusi Op Makmur dan Op Tiris pada 9.40 pagi.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada dua kru warga Thailand, 12 Kemboja dan tujuh warga Laos.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dipercayai melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja yang sah selain semua kru didapati memiliki dokumen pengenalan diri meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, dokumen berkaitan serta hasil laut dianggarkan seberat tujuh tan metrik.

Mazlan berkata vesel dan semua tahanan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews