Teknologi AR & VR tarikan pameran Maritim Malaysia di LIMA 2025

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal mencuri perhatian pengunjung Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 apabila menampilkan teknologi interaktif terkini termasuk Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) di reruai pamerannya bermula esok.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, buat julung kalinya pengunjung berpeluang mengalami sendiri cabaran dunia penguatkuasaan maritim negara secara maya melalui pendekatan bertemakan “Mendekati Komuniti Melalui Teknologi Interaktif.”
“Tarikan utama reruai kami adalah paparan AR di mana pengunjung hanya perlu mengimbas dinding reruai untuk melihat maklumat dan imej interaktif tiga dimensi (3D),” katanya selepas mengadakan lawatan tinjauan ke reruai Maritim Malaysia hari ini.
Menurut beliau, teknologi VR turut dibawa bagi membolehkan pengunjung ‘mengikuti’ anggota Maritim Malaysia menjalankan operasi membanteras jenayah serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Selain itu, model miniature aset Maritim Malaysia dalam bentuk table top turut dipamerkan, memaparkan kedudukan kapal peronda dan aset operasi di seluruh perairan negara.
“Paparan ini bukan sahaja memberikan pemahaman lebih jelas tentang kawasan operasi kami, malah membuka mata masyarakat terhadap tanggungjawab besar Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara,” tambah Datuk Rosli.
Reruai Maritim Malaysia dibuka di dua lokasi utama iaitu di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL), dari 20 hingga 24 Mei 2025. Waktu lawatan adalah dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews