Selepas kalah Rafizi terus pulang ke KL, tidak hadir hari terakhir Kongres PKR

⋅
BEKAS timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional parti itu selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan nombor dua dalam PKR.
Meskipun Rafizi semalam mengesahkan akan hadir, kelibatnya tidak kelihatan di lokasi kongres sejak jam 8 pagi tadi.
Setiausaha akhbar kepada Menteri Ekonomi itu, Farhan Iqbal, mengesahkan Rafizi telah pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru malam tadi.
“Rafizi pulang ke Kuala Lumpur pagi ini,” katanya kepada media.
Dalam satu hantaran di Facebook, Rafizi menulis titipan kepada para penyokongnya dan mengakui kekalahan tersebut memberi kesan kepadanya.
Turut tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan baru PKR ialah bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang bertanding sebagai sebahagian daripada kem Rafizi.
Semalam, Nurul Izzah diumumkan sebagai pemenang dalam saingan merebut jawatan timbalan presiden apabila memperoleh 9,803 undi, menewaskan Rafizi yang meraih 3,866 undi.
Sebelum ini, Rafizi menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan menteri sekiranya tewas dalam pertandingan jawatan nombor dua dalam PKR itu.
Seramai 32,030 perwakilan layak mengundi dalam pemilihan kepimpinan pusat parti itu bagi penggal 2025–2028.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews