PKR belum sedia hadapi PRU, sokongan Melayu dan bukan Melayu merosot - Rafizi | Madani News

PKR belum sedia hadapi PRU, sokongan Melayu dan bukan Melayu merosot – Rafizi

PKR belum sedia hadapi PRU, sokongan Melayu dan bukan Melayu merosot – Rafizi

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) masih belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, berdasarkan data semasa yang menunjukkan sokongan Melayu kekal rendah dan sokongan bukan Melayu pula semakin menjunam.

Menurut Rafizi, hanya 27 peratus pengundi Melayu menyokong PH setakat April 2025, meningkat sedikit dari 20 peratus pada Ogos 2020. Namun angka itu masih jauh dari sasaran minimum 35 peratus yang diperlukan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 kerusi Parlimen.

Dalam ceramahnya di Seremban, Rafizi mengingatkan bahawa 26 peratus pengundi Melayu belum membuat keputusan, satu angka yang membimbangkan memandangkan BN dan PN juga mengalami penurunan sokongan.

Tambah Rafizi, sokongan pengundi Cina dan India juga merosot ketara, daripada sekitar 56 dan 50 peratus pada Ogos 2024 kepada hanya 31 peratus pada April lalu, memberi isyarat bahawa pengundi bukan Melayu semakin hilang minat terhadap PH.

Beliau memberi contoh peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap yang menyaksikan pengundi Cina kurang dari 40 peratus keluar mengundi, manakala pengundi Melayu melebihi 70 peratus, trend yang boleh memberi kesan besar kepada kerusi campuran yang ditandingi PKR.

Mengulas faktor lain, Rafizi menyatakan bahawa tahap keyakinan terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan berada pada 31 peratus, dengan kadar ketidakpuasan berkurang kepada 47 peratus — satu perkembangan positif yang perlahan.

Namun begitu, isu kepercayaan terhadap usaha kerajaan melawan rasuah terus membelenggu, dengan tahap kepuasan menjunam terutamanya dalam kalangan pengundi muda. Hanya 8 peratus Gen Z dan 10 peratus milenial mempercayai keupayaan kerajaan dalam hal ini.

Rafizi secara terbuka mengkritik sikap menutup kelemahan dalam parti, mengingatkan bahawa BN juga pernah terlalu yakin sebelum tumbang dalam PRU14, walaupun menerima laporan yang menunjukkan mereka akan menang.

Beliau turut membidas kecenderungan sesetengah pemimpin parti yang hanya fokus kepada jawatan dan kuasa, sedangkan asas reformasi yang menjadi perjuangan asal PKR semakin diketepikan dalam budaya parti sekarang.

Kini bertanding menentang Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi memberi isyarat bahawa pemilihan ini bukan sekadar perebutan kuasa dalaman, tetapi penentu bentuk kepimpinan yang akan kekal jika parti kembali menjadi pembangkang.

Beliau menegaskan bahawa masa berkuasa membawa ramai ‘kawan’, tetapi masa hilang kuasa hanya yang benar-benar setia akan kekal, dan PKR harus bersedia dengan realiti itu dalam menyusun kepimpinan dan hala tuju masa depan.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews