Pemandu lori terlibat kemalangan trak FRU ditahan semula kes curi lembu selepas 20 minit dibebaskan | Madani News

Pemandu lori terlibat kemalangan trak FRU ditahan semula kes curi lembu selepas 20 minit dibebaskan

Pemandu lori terlibat kemalangan trak FRU ditahan semula kes curi lembu selepas 20 minit dibebaskan
KEMALANGAN antara lori pasir dan trak FRU menyebabkan 9 anggota FRU meninggal dunia. Gambar Bernama

PEMANDU lori muatan batu yang didakwa menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam satu kemalangan minggu lalu ditahan semula atas kes curi lembu, selepas 20 minit dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Sinar Harian melaporkan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bagan Datuk menahan lelaki 45 tahun itu di pejabat kaunter bayaran wang jaminan kira-kira 12.20 tengah hari tadi bagi membantu siasatan kes di Hutan Melintang, Bagan Datuk, April lalu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Polis menahan lelaki itu bagi membantu siasatan kes curi lembu di Hutan Melintang bulan lalu.

Terdahulu, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan mahkamah dari lokap IPD Hilir Perak selepas membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Majikan dikenali Ravi, 58, dan jiran sekampung yang hanya dikenali Roslan, 62, masing-masing membayar ikat jamin berjumlah RM4,000 serta RM2,000.

Jumaat lalu, Rudi Zulkarnain Mat Radi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU pada 13 Mei lalu.

Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin menetapkan jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan, selain syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai di mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan 17 Jun ini.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews