Maritim Malaysia intai teknologi AI, perkukuh keselamatan perairan negara

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak melepaskan peluang memanfaatkan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) untuk meninjau potensi penggunaan teknologi moden bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah reformasi operasi Agensi yang semakin mencabar dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan yang lebih kompleks.
“Maritim Malaysia melihat keperluan untuk meneroka teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, analisis data masa nyata, serta sistem pemantauan pintar bagi mempertingkatkan kecekapan pemantauan dan respons terhadap insiden di laut,” katanya lagi.
Tambah beliau, LIMA 2025 menjadi medan penting untuk Maritim Malaysia mengenal pasti peluang kerjasama strategik serta teknologi yang boleh disesuaikan dengan keperluan operasi Agensi tersebut.
“Maritim Malaysia turut mengalu-alukan sebarang bentuk jalinan kerjasama baharu dengan rakan strategik, sama ada dari dalam mahupun di peringkat antarabangsa.
“Maritim Malaysia juga ingin memastikan aset, sistem dan keupayaan operasi kekal relevan dan efektif dalam mendepani cabaran semasa serta pada masa akan datang,” jelasnya lagi.
Datuk Haji Mohd Rosli turut menegaskan, teknologi bukanlah pengganti kepada kecekapan manusia, namun ia perlu dilihat sebagai pelengkap dalam memperkasa operasi Maritim Malaysia secara menyeluruh.
“AI boleh bantu dari segi membuat keputusan pantas, menjejak Vesel Nelayan Asing (VNA), atau memberi amaran awal melalui pengesanan automatik.
“Ini semua akan membantu penguat kuasa Maritim Malaysia di lapangan untuk lebih proaktif,” kata Mohd Rosli.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews