Kawan tak bayar hutang? Ini cara tuntut balik duit anda di Mahkamah! | Madani News

Kawan tak bayar hutang? Ini cara tuntut balik duit anda di Mahkamah!

Kawan tak bayar hutang? Ini cara tuntut balik duit anda di Mahkamah!

PERNAH tak anda pinjamkan duit pada kawan, tapi bila tiba masa nak bayar… dia terus ‘ghaib’? Mesej tak berbalas, panggilan tak dijawab, malah ada yang siap ‘update’ beli sport rim baru — tapi hutang anda tak berusik langsung.

Situasi ini bukan asing. Ramai yang berkongsi pengalaman serupa, dan lebih menyedihkan, ada yang langsung tidak rasa bersalah walaupun telah dimaki, diperli, atau diberi amaran. Macam mencurah air ke daun keladi.

Tapi jangan risau, anda masih ada jalan untuk menuntut keadilan — melalui mahkamah.

Dalam satu video TikTok oleh peguam Nas Rahman, beliau menjelaskan cara mudah untuk menuntut hutang bawah RM5,000 melalui proses yang dinamakan Saman Tuntutan Kecil.

Apa itu Saman Tuntutan Kecil?

Ia adalah proses tuntutan yang boleh difailkan di Mahkamah Majistret, dan paling menarik — anda tidak perlu upah peguam. Anda boleh mewakili diri sendiri dan hanya perlu isi Borang 918 di mahkamah berhampiran.

Apa yang diperlukan?

Menurut Nas, antara maklumat penting yang perlu disediakan ialah:

  • Nama penuh penghutang
  • Alamat lengkap
  • Nombor MyKad (jika ada – untuk memudahkan proses)

“Paling penting kena tahu alamat orang yang nak disaman, sebab saman perlu diserahkan kepadanya. Kalau ada nombor IC, itu bonus,” jelasnya.

Apa berlaku selepas saman difailkan?

Jika individu tersebut menerima saman tetapi tidak hadir ke mahkamah atau gagal membela diri, anda boleh terus mohon penghakiman terus – yang bermaksud anda sudah menang kes tersebut.

“Bila dah dapat penghakiman, lebih mudah untuk ke peringkat seterusnya bagi menuntut bayaran. Tapi yang paling penting, failkan dulu saman itu,” katanya.

Video Nas itu turut mendapat perhatian ramai pengguna TikTok yang berkongsi pengalaman masing-masing dengan ‘si liat bayar hutang’.

Jadi, jika anda pernah menjadi ‘mangsa’ kawan atau kenalan yang liat bayar hutang, jangan terus diam dan telan rasa geram — guna saluran yang sah untuk tuntut hak anda.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews