Adik Beng Hock minta Anwar tunai janji beri keadilan kes abangnya

ADIK kepada Teoh Beng Hock menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menunaikan janjinya untuk memberikan keadilan dalam kes kematian pembantu politik itu pada 2009.
Dalam satu sidang media hari ini, Teoh Lee Lan berkata beliau sangat kecewa kerana siasatan terkini polis terhadap kematian abangnya sekali lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Pada 1 Ogos 2024, Anwar meminta kami percaya kepada ‘pasukan baharu polis’ dan ‘sistem baharu’ di bawah kepimpinannya. Tetapi apa yang sistem ini berikan kepada kami? Hanya lebih banyak kekecewaan,” katanya pada sidang media bersama peguam keluarga, Ramkarpal Singh, lapor FMT.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis menyelesaikan siasatan yang tertangguh sekian lama terhadap kematian Beng Hock.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas jatuh dari tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Satu inkues terhadap kematiannya memberikan keputusan terbuka. Bagaimanapun, pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya berpunca daripada tindakan ‘satu atau lebih individu tidak dikenali’, termasuk pegawai SPRM.
Pada Jun 2018, semasa penggal pertama Pakatan Harapan mentadbir kerajaan, Jemaah Menteri bersetuju untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Beng Hock.
Anwar juga sebelum ini berikrar bahawa kes itu akan diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Sebelum siasatan dibuka semula pada 2018, dua pasukan khas siasatan telah ditubuhkan — masing-masing pada 2011 dan 2015 — namun kedua-duanya diklasifikasikan sebagai NFA.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews