PRK Ayer Kuning saksi pertandingan 3 penjuru, BN dicabar PN dan PSM | Madani News

PRK Ayer Kuning saksi pertandingan 3 penjuru, BN dicabar PN dan PSM

PRK Ayer Kuning saksi pertandingan 3 penjuru, BN dicabar PN dan PSM
- Gambar Bernama

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

BN diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sementara PN meletakkan Pengerusi PN Tapah Abd Muhaimin Malek, 44, sebagai calon dan Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS, 40, mewakili parti itu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Redhauddin Ahmad Shokori mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.23 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Merdeka di Tapah ditutup pada 10 pagi.

Terdahulu Abd Muhaimin menyerahkan borang pencalonan pada 9.01 pagi, diikuti Mohamad Yusri pada 9.06 pagi.

Bawani yang menarik perhatian ramai apabila hadir ke pusat penamaan bersama para penyokong dengan menaiki traktor sebagai gimik pula menyerahkan borang pencalonannya pada 9.15 pagi.

Sebelum itu, anggota dan pegawai polis melakukan kawalan keselamatan di pusat penamaan calon seawal 6.30 pagi bagi memastikan proses penamaan itu berjalan lancar.

Pemimpin dan para penyokong parti dilihat mula berkumpul seawal 7 pagi bagi memberikan sokongan moral kepada bakal calon masing-masing.

Mohamad Yusri yang lengkap berpakaian baju Melayu dan bersamping biru hadir ke Dewan Merdeka diiringi Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sokongan turut dizahirkan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, antaranya Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Abd Muhaimin pula hadir bersama rombongan termasuk Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.

– Bernama