FELDA lancar PMS Damar Berkat – inisiatif menamatkan ketirisan, menjamin pulangan hasil peneroka

LEMBAGA Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus memperkukuh agenda pemulihan institusi dan memperjuangkan hak peneroka apabila melancarkan Damar Berkat – Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar, Pahang, sebagai langkah konkrit menamatkan dominasi peraih luar serta ketirisan dalam rantaian hasil sawit.
Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelancaran pusat ini adalah simbol reformasi besar-besaran dalam sistem pengumpulan hasil yang sekian lama dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab termasuk peraih, sindiket penimbang serta ejen luar.
“Sistem lama telah membuka ruang kepada ‘singa, buaya dan gajah’ yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut,” tegas beliau dalam ucapannya.
Menurut beliau, ketirisan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan individu peneroka, malah memberi kesan besar kepada FELDA dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat hasil yang tidak direkod dan aktiviti luar sistem.
Ahmad Shabery turut menekankan bahawa Damar Berkat bukan sekadar pusat pengumpulan fizikal, tetapi lambang perjuangan untuk mengembalikan maruah dan hak peneroka.
“Ini bukan soal sawit semata-mata. Ini soal keadilan. Soal kita menuntut kembali apa yang sepatutnya menjadi milik kita.” katanya pada majlis pelancaran PMS Damar Berkat di Felda Bukit Damar, Wilayah Mempaga dekat Lanchang, Pahang hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa segala operasi Damar Berkat akan dikendalikan oleh Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai super dealer yang bertanggungjawab membeli, mengumpul dan mengalihkan hasil sawit peneroka secara terus ke kilang.
Pelaksanaan ini mewujudkan sistem pengurusan hasil yang lebih efisien, telus dan berpusat, sekali gus menjamin kualiti, meningkatkan pendapatan bersih peneroka dan memberi pulangan tambahan melalui dividen KPF. Inisiatif ini secara langsung melengkapkan rantaian nilai sawit berasaskan konsep “dari peneroka, untuk peneroka”
“FELDA juga memperkenalkan lori elektrik (EV) Sustainable Future (SF) dalam operasi PMS ini – selaras dengan pendekatan lestari yang lebih moden dan bersepadu,” katanya sambil menjelaskan sistem digital dan teknologi kebolehjejakan akan digunakan untuk memastikan ketelusan dan pengurangan manipulasi.
Peneroka Dijamin Pulangan Lebih Telus dan Berbaloi
Pengarah Operasi Perladangan FELDA, Razuwan Che Rose dalam taklimatnya memaklumkan melalui pengurusan ladang yang sistematik dan pemasaran hasil melalui saluran rasmi FELDA dan KPF, peneroka akan mendapat pulangan yang lebih adil, telus dan berbaloi.
Menurut Razuwan, sistem baharu ini turut memastikan kos operasi ladang berada pada tahap optimum tanpa membebankan peneroka, selain mengurus kutipan hutang dengan lebih tersusun agar golongan tersebut dapat melunaskan komitmen dengan tenang.
Sementara itu, Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan yang juga anggota Lembaga KPF, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, pelaksanaan PMS ini selari dengan inisiatif “Kertas Putih FELDA” 2019 yang meletakkan KPF sebagai penggerak utama dalam urusan jual beli dan pengumpulan hasil sawit serta kutipan hutang peneroka mandiri.
“Sehingga kini, sebanyak 63 rancangan FELDA telah menyertai projek ini, dan 20 rancangan lagi terlibat dalam operasi PMS – melibatkan lebih 1,000 peneroka,” katanya.
Tambah beliau, PMS Lestari Bukit Damar dijangka bukan sahaja memperkukuh hasil peneroka, tetapi turut membuka peluang perniagaan kepada anak muda FELDA, menjana pekerjaan baharu serta menggalakkan aktiviti ekonomi setempat.
Beliau turut mengesahkan bahawa model pengurusan PMS Bukit Damar akan dijadikan contoh untuk perluasan ke seluruh tanah rancangan yang lain.
Pelaksanaan Damar Berkat menandakan satu lagi detik penting dalam transformasi FELDA ke arah sebuah organisasi yang berdaya saing, mampan dan dekat dengan denyut nadi komuniti peneroka, dengan matlamat akhir mengembalikan semula hak dan martabat golongan yang pernah menjadi tulang belakang pembangunan negara.
Ia juga sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap agenda kelestarian global. Seiring dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Paris yang menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih (nett zero carbon) menjelang 2050, penggunaan EV dalam proses pengumpulan hasil dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan dan membuka ruang kepada FELDA untuk meneroka potensi perniagaan karbon di masa hadapan.
Dengan pengeluaran minyak sawit negara mencecah 18 juta metrik tan dan nilai eksport 15 juta metrik tan, manakala FGV Holdings Berhad sahaja menyumbang sebanyak 2.8 juta metrik tan, langkah pembaharuan ini dilihat mampu memberi impak besar kepada industri sawit negara secara keseluruhan.
PMS Damar Berkat merupakan simbol permulaan transformasi besar FELDA ke arah pemodenan pengurusan hasil peneroka secara lestari dan menyeluruh, sekaligus memperkukuh kedudukan peneroka dalam ekosistem industri sawit negara. – MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews