Bekas Pemangku Pengerusi Bersih meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Shahrul Aman Mohd. Saari meninggal dunia akibat barah di Institut Kanser Negara (IKN) pada pukul 4.25 pagi tadi.
Menurut Bersih, Allahyarham telah bertarung selama hampir setahun melawan penyakit itu.
“Shahrul ialah seorang yang ikhlas, merendah diri dan konsisten dalam perjuangan menuntut pilihan raya bersih dan adil, serta menginginkan negara yang adil dan makmur untuk semua.
“Sifat konsisten dan keberanian beliau terserlah apabila tanpa ragu mengambil mengemudi demonstrasi Bersih 5 pada 2016 selepas Pengerusi Bersih, Maria Chin dan Pengurus Bersih, Mandeep Singh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bersih menambah, Maria dan Mandeep ditahan hanya sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan pada 19 November 2016.
Katanya lagi, pada 2017, Shahrul menjadi Pemangku Pengerusi Bersih apabila Maria Chin mengambil keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Shahrul mengemudi Bersih di fasa-fasa kritikal ketika suara dan gerakan rakyat memuncak bagi menghadapi PRU-14 yang dianggap bersejarah.
“Bersih dibawah kepimpinan Shahrul rakan-rakan gerakan masyarakat sivil yang lain memainkan peranan yang penting dalam memantau pilihan raya supaya pilihan raya berlaku dengan lebih adil dan bersih,” jelasnya.
Bersih berkata, kegigihan dan keberanian Shahrul untuk demokrasi dan pilihan raya yang lebih baik menyalakan obor menyinari langkah-langkah kita untuk bergerak ke hadapan sebagai rakyat yang cintakan negara.
Katanya, perjuangan menuntut reformasi dan demokrasi tetap akan diteruskan.
“Seluruh keluarga Bersih mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Shahrul Aman.
“Semoga Shahrul ditempatkan dalam kalangan mereka yang baik dan budiman. Al-Fatihah,” katanya. – MADANI NEWS