URA jadikan ‘orang miskin jadi lebih miskin’, terpaksa tinggal di luar bandar – Tun Mahathir

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa undang-undang pembaharuan bandar (URA) yang dirancang akan diperkenalkan kerajaan akan mengakibatkan orang miskin jadi lebih miskin, manakala yang kaya akan lebih kaya selepas hak milik tanah berpindah tangan.
Beliau mendakwa, undang-undang berkenaan akan mempercepatkan proses penjualan tanah orang miskin kepada orang kaya, selain menyebabkan orang miskin akan terpinggir hidup di luar bandar dan orang kaya menguasai seluruh bandar.
“Undang-undang pembaharuan bandar akan percepat proses ini. Apa terjadi kepada tanah orang miskin yang telah dijual?,” kata Dr. Mahathir dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.
Beikut kenyataan penuh beliau:
MISKIN DAN KAYA
“Dalam mana-mana masyarakat terdapat puak yang miskin dan puak yang kaya.
Yang miskin selalu kekurangan duit. Jika ada apa-apa harta, gadai harta untuk dapat duit.
Jika si miskin memiliki sebidang tanah seluas kangkang kera pun untuk dapat duit, jual tanah.
Siapa yang beli?
Orang kaya yang beli.
Tiap hari berpuluh ekar tanah milik orang miskin dalam dan luar bandar dijual pada orang kaya
Orang miskin terpinggir di luar bandar.
Dan orang kaya akan memiliki seluruh bandar.
Undang-undang pembaharuan bandar akan percepat proses ini.
Apa terjadi kepada tanah orang miskin yang telah dijual?
Orang kaya akan bangunkan tanah dengan kedai dan rumah mewah.
Dengan itu nilai tanah akan meningkat.
Si miskin akan lihat dengan putih mata tanah yang telah dijual menguntungkan pembeli yang kaya.
Maka yang miskin jadi lebih miskin.
Yang kaya lebih kaya.
Tak cakap pasai 3R.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
7 Mac 2025
- MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews