Tuduhan kerajaan berdiam diri apabila Islam dihina tidak berasas - Pejabat Perdana Menteri | Madani News

Tuduhan kerajaan berdiam diri apabila Islam dihina tidak berasas – Pejabat Perdana Menteri

Tuduhan kerajaan berdiam diri apabila Islam dihina tidak berasas – Pejabat Perdana Menteri

DAKWAAN bahawa kerajaan berdiam diri apabila Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas, tegas Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah. Beliau menegaskan bahawa sesiapa yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Sebagai bukti, beliau menggariskan beberapa kes terdahulu di mana tindakan tegas telah diambil, termasuk kes penghinaan terhadap kalimah Allah dalam penjualan stokin yang menyaksikan syarikat serta pembekal masing-masing didenda RM60,000.

Dalam kes lain, seorang lelaki yang mempermainkan perkataan “Allah” dihukum denda RM12,000 dan penjara enam bulan. Selain itu, peniaga jagung bakar yang meletakkan notis berbaur perkauman didenda RM400, sementara pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan mereka.

“Jelas bahawa semua kes ini telah disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang. Setiap kes yang mempunyai asas laporan akan melalui proses perundangan yang adil dan telus,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan di Facebook rasmi PMO Malaysia, hari ini.

Jangan Tertipu Dengan Naratif Perpecahan Pihak Berkepentingan – Anwar

Tunku Nashrul turut memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa rakyat harus menghindari daripada terperangkap dengan propaganda yang membakar sentimen perkauman serta menanam benih kebencian dalam masyarakat.

Perdana Menteri menyedari adanya usaha pihak berkepentingan yang cuba mencipta naratif kononnya wujud layanan “double standard” dalam tindakan terhadap kes penghinaan agama.

“Ini tuduhan liar yang tidak mempunyai asas sama sekali. Tidak kira siapa, sesiapa yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap dikenakan tindakan undang-undang. Usah biarkan isu-isu remeh memecahbelahkan perpaduan dan keunikan kita, tatkala negara berada di landasan pembangunan yang kukuh,” katanya.

Tegasnya, kerajaan akan terus memelihara keharmonian dan kestabilan negara dengan bertindak terhadap mana-mana individu yang cuba menggugat perpaduan kaum dan agama di Malaysia. – MADANINEWS