PAS setuju saranan PM jangan guna agama sebagai senjata politik, tapi perlu tegas jika ada anggota sendiri mencabar Islam

PAS menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar agama tidak dijadikan senjata politik untuk kepentingan peribadi, namun menegaskan kerajaan perlu bertindak tegas jika pemimpinnya sendiri mencabar kedudukan Islam.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kegagalan kerajaan mengawal dan mengurus isu tersebut secara adil dan segera hanya akan mengundang respons negatif daripada pihak yang terkesan.
“Dalam konteks ini, PAS berasa perlu untuk mengulangi gesaan berhubung ketegasan kerajaan dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa pihak berkuasa Islam, mahupun kepentingan sah umat Islam.
“Ia jelas telah dan akan terus menyumbang kepada konflik, ketegangan dan suasana tidak harmoni, termasuk antara parti-parti komponen kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun Takiyuddin tidak menyebut sebarang nama secara khusus, PAS sebelum ini pernah menyasarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, atas dakwaan berkaitan isu agama.
Dalam kalangan parti kerajaan pula, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh, beberapa kali bertelagah dengan DAP, termasuk membantah cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, untuk melantik menteri hal ehwal bukan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Takiyuddin turut menyatakan PAS mengalu-alukan pendirian kerajaan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan mesti dimartabatkan, sambil menekankan kepentingan semua pihak untuk tidak melanggar batas berkaitan agama dan kaum.
“Penegasan ini adalah selari dengan dasar PAS sejak sekian lama berhubung kepentingan dan keutamaan sikap saling menghormati, memahami dan menghargai sebagai identiti teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Bagi PAS, sikap ini bukan sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan pemikiran kebangsaan yang mesti diamalkan dalam semua keadaan dan setiap masa,” katanya. – MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews