Kerajaan bertindak tegas perbuatan hina agama

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan menghina agama tanpa sebarang pilih kasih, selaras dengan peruntukan undang-undang negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, semua agensi di bawah seliaan kementeriannya menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu tersebut.
Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam memastikan kes penghinaan terhadap Islam dibawa ke muka pengadilan.
“Mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Proses siasatan dan pendakwaan sebelum ini membuktikan bahawa kepentingan awam sentiasa diambil kira bagi menjaga keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Na’im turut menzahirkan rasa kesal terhadap perbuatan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama sehingga mencetuskan kegelisahan awam.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan demi kepentingan negara.
“Agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus komited dalam usaha memelihara kesucian Islam serta menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat untuk terus membangunkan Malaysia Madani dengan semangat perpaduan demi kesejahteraan bersama. – MADANI NEWS