Kakitangan Pejabat Perbendaharaan maut, leher dan kaki terjerut

PUTRAJAYA – Seorang kakitangan Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, ditemukan maut dalam keadaan leher dan kaki terjerut dengan pengikat dawai plastik (cable tie) pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu melalui panggilan MERS 999 daripada orang awam pada pukul 10.56 pagi.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya segera ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun, ditemukan terbaring di atas lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terjerut menggunakan pengikat dawai plastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2222, atau melaporkan ke balai polis berhampiran.