Hadi kritik cadangan DAP had tempoh jawatan PM tidak selari dengan Islam. Ikut sejarah, Khalifah Islam memerintah hingga akhir hayat | Madani News

Hadi kritik cadangan DAP had tempoh jawatan PM tidak selari dengan Islam. Ikut sejarah, Khalifah Islam memerintah hingga akhir hayat

Hadi kritik cadangan DAP had tempoh jawatan PM tidak selari dengan Islam. Ikut sejarah, Khalifah Islam memerintah hingga akhir hayat

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengkritik cadangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada sepuluh tahun, menyifatkannya sebagai mengutamakan kepentingan politik berbanding ketetapan Islam.

Dalam satu kenyataan menerusi “Minda Presiden PAS”, beliau menegaskan bahawa kepimpinan negara adalah satu amanah besar daripada Allah dan tidak boleh dilihat sekadar sebagai jawatan untuk dinikmati dalam tempoh tertentu sebelum digilirkan kepada individu lain.

Menurutnya, Islam telah menetapkan kepimpinan harus dipikul oleh golongan beriman dan berkelayakan, manakala jawatan itu perlu dihentikan sekiranya pemimpin terbukti melakukan pengkhianatan. Hadi turut membandingkan perkara ini dengan sejarah pemerintahan Islam di mana para khalifah memimpin sehingga akhir hayat mereka.

“Dalam sejarah Islam, kepimpinan bukan diberikan berdasarkan tempoh tertentu, tetapi selagi seseorang itu layak dan berintegriti. Jika ada pengkhianatan, maka kepimpinannya perlu dihentikan,” katanya dalam Facebook miliknya.

Ahad lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya mahu kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan termasuk menguatkuasakan had dua penggal untuk jawatan perdana menteri.

Hadi juga menegaskan bahawa umat Islam wajib memastikan negara dipimpin oleh pemimpin yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan bukan mereka yang tunduk kepada tekanan pihak luar atau musuh Islam.

Menurutnya, PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan DAP atas dasar menentang penyelewengan dan rasuah, tetapi hubungan itu terputus apabila DAP mula menentang dasar-dasar Islam secara terbuka.

“Kita boleh bekerjasama dengan bukan Islam yang tidak ekstrem dan menghormati kepimpinan Islam di Malaysia, tetapi bukan dengan pihak yang berhasrat menghakis peranan Islam dalam negara,” ujarnya.

Hadi juga menegaskan bahawa Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan, dan hak-hak orang Melayu serta bumiputera perlu dipertahankan daripada ancaman liberalisme yang semakin berkembang dalam politik negara.

Mengakhiri kenyataan beliau, Hadi memberi amaran agar rakyat berwaspada terhadap sebarang cubaan untuk melemahkan Islam dan kepimpinan Melayu-Islam di Malaysia, sambil menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan kedudukan Islam di negara ini masih belum selesai.

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews