Dah lama dah.., isu campur beras tempatan, import berlaku sejak 1970an – Mat Sabu

ISU pencampuran beras tempatan dan import bukan perkara baharu, sebaliknya telah diamalkan sejak tahun 1970-an, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu. Bagaimanapun, katanya, tiada peruntukan undang-undang yang jelas bagi mendakwa kesalahan tersebut di mahkamah.
Menurut Mohamad, amalan ini bukanlah sesuatu yang unik kepada pentadbiran semasa, sebaliknya telah bermula sejak penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di bawah kerajaan terdahulu. Pendedahan ini dibuat hasil kajian industri padi dan beras oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada awal tahun lepas.

“Amalan pencampuran beras ini telah berlaku sejak tahun 1970-an lagi, selepas penubuhan LPN dan bukan sesuatu yang baharu di bawah pentadbiran kerajaan sekarang. Namun, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan khusus yang jelas untuk mendakwa kesalahan ini di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang mempersoalkan keberadaan beras tempatan, memandangkan Malaysia memiliki lebih 644,854 hektar sawah yang menghasilkan lebih 2.4 juta tan metrik padi setiap musim.
50% Beras Import Bercampur Beras Tempatan – Kajian
Sebelum ini, laporan media mendedahkan bahawa kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) didapati bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Kajian yang dijalankan sepanjang 2023 dan 2024 menggunakan teknologi pencapjarian DNA beras itu mendapati amalan pencampuran ini dilakukan untuk memenuhi cita rasa pengguna serta menghasilkan lebih banyak variasi jenama di pasaran.
Susulan penemuan tersebut, MyCC telah membentangkan hasil kajian mereka kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember 2024.
“Berdasarkan dapatan MyCC, pencampuran BPT dan BPI memang berlaku dalam industri padi dan beras, dan mekanisme terbaik untuk mengawal perkara ini sedang diperhalusi melalui perundangan,” kata Mohamad.
Kementerian kini sedang merangka simulasi penetapan harga bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dibentangkan kepada kabinet, dengan sokongan MyCC sebagai sebahagian daripada penyelesaian isu bekalan beras negara.
Kerajaan Selaras Harga Lantai Baharu dan Subsidi Pengeluaran
Dalam langkah untuk menstabilkan harga dan bekalan beras, kerajaan telah menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik, berkuat kuasa 16 Februari 2025.
Selain itu, kerajaan juga mengekalkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram dan akan menyerap sebahagian kos pengeluarannya, melibatkan peruntukan sekitar RM150 juta bagi tempoh enam bulan mulai 1 Mac hingga 31 Ogos. Langkah ini bertujuan memastikan sebanyak 24 juta kampit BPT bersaiz 10 kilogram tersedia di pasaran secara berperingkat. – MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews