YEF MSIA: Membantu remaja tanpa waris & anak asnaf meneruskan pendidikan

YOUTH Empowerment Foundation Malaysia (YEF MSIA), sebuah yayasan yang bertekad membantu remaja kurang bernasib baik, terus komited dalam memperkasakan anak-anak yatim dan anak asnaf untuk meneruskan pendidikan serta membina masa depan yang lebih cerah.
Ditubuhkan pada tahun 2009 oleh Almarhum Che Rozi Azrul Che Aziz, yayasan ini sebelum ini dikenali sebagai Yayasan J’Keb Malaysia dan didaftarkan secara rasmi di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2015.
Objektif utama YEF MSIA adalah untuk mengupayakan remaja yang terpaksa meninggalkan rumah kebajikan kerajaan atau rumah anak yatim selepas mencapai usia 18 tahun melalui pendidikan akademik atau latihan kemahiran supaya mereka mampu berdikari walaupun tanpa waris.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah dan Penasihat YEF MSIA, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, yayasan ini memainkan peranan penting dalam memastikan belia yang kurang bernasib baik tidak tercicir daripada pendidikan dan mempunyai akses kepada latihan kemahiran yang bersesuaian.
YEF MSIA menyediakan rumah transit alternatif serta sistem sokongan kepada golongan ini.
“Kami berusaha untuk memberi peluang kepada mereka yang tiada tempat bergantung. Dengan menyediakan bimbingan, pendidikan dan latihan, kami ingin memastikan setiap remaja yang kami bantu dapat berdikari dan memperoleh pekerjaan yang lebih baik serta masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YEF MSIA, Annie Othman, menegaskan bahawa yayasan ini bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan Dan elaun Sara hidup , tetapi turut memberi bimbingan moral dan kaunseling, motivasi, dan sokongan psikososial kepada golongan belia di bawah jagaan kami ke arah pembentukan personaliti yg lebih cemerlang
“Kami percaya bahawa pendidikan dan latihan kemahiran adalah kunci utama dalam mengubah kehidupan mereka. Oleh itu, kami sentiasa mencari peluang terbaik untuk membantu mereka melanjutkan pelajaran, sama ada di universiti, kolej teknikal, atau institusi latihan industri,” jelasnya.
Program Pemerkasaan Belia
Antara inisiatif utama yang dijalankan YEF MSIA secara tahunan adalah* Program Intervensi YEF MSIA 2025, yang bertujuan membangunkan jati diri dan meningkatkan keyakinan diri pelatih sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke institusi atau memasuki alam pekerjaan.
Sebagai langkah awal dalam mengenal pasti golongan sasar, ‘Program Kembali ke Sekolah’ juga diwujudkan setiap tahun bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan memperoleh kelengkapan pendidikan yang mencukupi untuk sesi persekolahan.
Sejak 2019, YEF MSIA telah membantu *136 remaja melalui program latihan mereka, dengan 42 daripadanya telah berjaya menamatkan pelajaran dan latihan industri, manakala 94 masih meneruskan pengajian di pelbagai peringkat.
Kesemua pelatih yang tamat pengajian, telah berjaya mendapatkan pekerja dengan pendapatan yang setimpal dan sebahagian dari mereka juga memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta masih di bawah sokongan YEF MSIA.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan yang diambil yayasan memberi impak positif terhadap golongan sasaran.
Namun, masih terdapat cabaran besar dalam memastikan lebih ramai lepasan SPM melanjutkan pengajian.
Berdasarkan laporan Kementerian Pendidikan Malaysia 2019, hanya 22.1 peratus pelajar SPM melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi, manakala selebihnya memilih untuk bekerja.
Dengan pelbagai usaha yg dilakukan, YEF MSIA berhasrat untuk turut membantu mengubah statistik ini.
Penderma yang berminat untuk menderma boleh menghubungi Youth Empowerment Foundation Malaysia pada talian 019- 911198, 03- 41417610 atau e-mel: [email protected]. Laman web yayasan adalah https://yefmsia.com/
- MADANINEWS