Tunku Ismail hadir majlis perjanjian kerjasama BA Group, YTL bangunkan infrastruktur fiber generasi baru

PEMANGKU Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian pemegang saham dan kerjasama eksklusif antara Bullish Aim Group (BA Group) dan YTL Communications Sdn Bhd dalam membangunkan infrastruktur fiber generasi baru.
BA Group, peneraju inovasi dalam infrastruktur telekomunikasi dan YTL Communications Sdn Bhd akan menjalakan usaha sama strategik untuk membangunkan infrastruktur fiber, bagi meningkatkan sambungan internet berkelajuan tinggi dan kecekapan data.
Pembangunan infrastruktur fiber akan bermula pada suku pertama tahun ini, meliputi bandar-bandar utama di Johor, termasuk kawasan yang perkhidmatan liputan telekomunikasi belum memuaskan.
Pengarah Urusan YTL Communications dan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata inisiatif memperkasa ekonomi digital sejajar dengan matlamat negara dalam menyediakan penyelesaian sambungan berskala besar.
Menurutnya, ia memberi manfaat kepada pelbagai industri seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), dan 5G.
Jelasnya, kerjasama itu juga akan mengurangkan pertindihan infrastruktur, menurunkan kos bagi penyedia perkhidmatan, serta memastikan pendekatan pembangunan teknologi mampan dan inklusif seterusnya memacu agenda transformasi digital negara.
“Dengan Johor sebagai hab utama pusat data, usaha sama ini akan melabur dan membina insfrastruktur fiber yang diperlukan untuk merealisasikan ekonomi digital baharu.
“Memacu pertumbuhan pesat dan pelaksanaan perkhidmatan digital serta teknologi termaju,” katanya dalam kenyataan.
Selain Tunku Ismail dan Yeoh Seok Hong, antara yang hadir ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BA Group, Mohamad Naifuddin Bujang Mohidin; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BA Group, Dato’ Lion Peh serta Ketua Pegawai Pemasaran YTL Communications, Yeoh Keong Ren. – MADANINEWS