Siti Saleha bergelar isteri kepada pereka fesyen

MENJELANG Ramadan ini, ramai juga artis yang melangsungkan majlis pernikahan atau perkahwinan. Terbaru ialah aktres terkenal, Siti Saleha yang kini sah bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton, 38,.
Majlis pernikahan berlangsung di pusat peranginan di Janda Baik dekat Bentong, Pahang hari ini dan berita gembira itu turut dikongsikan di laman InstaStory Instagram milik selebriti berkenaan pada hari yang sama.
Difahamkan, pada majlis pernikahan secara tertutup itu, Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum , 35, dinikahkan oleh bapanya, Mohd Baharum Abd Rahman.
Kedua-dua pasangan pengantin itu tampak sepadan menggayakan busana rona putih di majlis tersebut.
Untuk rekod, Siti Saleha pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang lelaki dikenali sebagai Ahmad Lutfi Azhar namun bercerai pada 17 Januari 2022 di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Pada tahun yang sama, Siti Saleha mengakui menjalin hubungan cinta Joshua Fitton selepas mereka hadir ke sebuah acara anugerah. – MADANINEWS