Setelah 5 tahun ditutup kerana rugi, MAPS tumbang menyembah bumi

Oleh AHMAD ABD HAMID
SAYU hati melihat Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru, Ipoh, Perak, menyembah bumi, lima tahun setelah menghentikan operasi pada 2020.
Teman tema animasi itu tidak mampu bertahan kerana berterusan rugi. Akibat kerugian menggunung, MAPS yang dibuka pada Jun 2017 ditutup terus pada Januari 2020, hanya dua setengah tahun selepas beroperasi.
Selepas ditutup, MAPS terbiar begitu sahaja hinggalah akhirnya bangunan dan struktur dalam taman animasi itu dirobohkan. Proses meroboh dan membersih kawasan kini masih berjalan.

Tapak di mana MAPS pernah berdiri megah kini rata bagai ‘padang jarak padang tekukur’. Robohnya MAPS ibarat nokhtah yang melenyapkan walau secebis impian bahawa taman animasi dan hiburan keluarga itu akan bernyawa kembali.
Persekitaran MAPS kini hampir rata, dipenuhi konkrit dan besi yang belum dipindahkan sepenuhnya dari kawasan runtuhan. Juga masih ada rangka struktur berdiri. Pemandangan ini boleh dilihat berhampiran plaza tol Ipoh, juga dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
MAPS dibina dengan matlamat mewujudkan taman tema animasi pertama di Asia. Pembinaannya menelan belanja RM520 juta hasil usaha sama Perbadanan Perak Berhad (PCB) dan Kumpulan Sanderson.
Harapan begitu tinggi agar ia menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi juga pelancong luar. Sasaran pembukaan MAPS dijadual pada 2015 namun ia hanya dapat dibuka pada 2017.
Banyak tarikan tersedia untuk pengunjung. Antaranya Dataran Animasi, Zon Fantasi Hutan serta Zon ‘Life Action’. Selain itu penampilan watak-watak animasi seperti ‘Casper The Friendly Ghost’, ‘The Smurfs’, ‘Megamind’ dan rumah hantu ‘The Sacred Rianna’.
Juga ditampilkan pertunjukan penuh aksi kereta dan motosikal serta ‘Boboiboy 4D’ untuk peminat setia animasi Boboiboy. Pendek kata segala yang disediakan di MAPS mampu menarik pengunjung. Tetapi kenapa ia akhirnya berkubur?
Punca utama kerana sasaran pengunjung jauh meleset daripada unjuran. Pada awal pembukaan, sasaran kehadiran ialah dua juta pengunjung setahun. Namun hanya 120,000 pengunjung dicatat dalam setahun.
Ada yang mengaitkan kemerosotan ini dengan harga tiket yang mahal. Untuk dewasa mencecah RM200 seorang sementara kanak-kanak dan warga emas RM150. Banyak wang terpaksa dibelanja, terutama jika datang bersama keluarga.
Mungkin sepatutnya pada peringkat awal pembukaan, harga tiket lebih rendah untuk memikat pengunjung. Setelah jumlah pengunjung meningkat, bolehlah dinaikkan harga perlahan-lahan.
Selain tiket, mungkinkah faktor lokasi jadi punca? Tidak mungkin begitu kerana MAPS mudah diakses melalui lebuh raya PLUS.
Kekurangan pengunjung menyebabkan MAPS beroperasi dalam suram menanggung kerugian. Keadaan begitu tenat, atau ‘bleeding’ kata orang putih.
Pelbagai usaha dilakukan seperti menambah permainan serta tarikan baharu, namun pengunjung tetap tidak bertambah. Tindakan kemudian diambil menurunkan harga tiket, tetapi masih gagal menarik pengunjung.
Berikutan itu langkah drastik diambil dengan menghapuskan tiket masuk pada 2019. Caj hanya dikenakan jika pengunjung menggunakan kemudahan permainan disediakan. Usaha ini masih tetap tidak membuahkan hasil.
Pendapatan tidak mampu menampung kos operasi. Kerugian yang ditanggung oleh MAPS sudah tidak dapat dibendung. Beban hutang makin meningkat, dianggarkan mencecah lebih RM500 juta.
Akhirnya setelah hampir tiga tahun beroperasi, pada Januari 2020 MAPS ditutup untuk mengelak kerugian berterusan. MAPS bagai tidak dipedulikan dan tidak dijaga. Persekitaran terbiar dipenuhi semak samun.

Awalnya penutupan dikatakan sementara untuk merangka pelan pemulihan. Tetapi nyata ia ditutup terus. Kerja meroboh bangunan dan meratakan tapak melengkapkan ‘kematian’ MAPS.
Tidak diketahui kenapa pihak berkepentingan seperti syarikat pemaju, juga kerajaan Perak, tidak berusaha memulihkan MAPS dengan mencari kaedah meraih pendapatan untuk ia terus bernafas, bukan ditutup terus.
Mungkin pihak-pihak terlibat sudah buntu mencari jalan keluar. Lalu jalan penyelesaian mudah ialah dengan menutup perniagaan. Sungguh tidak diduga usia MAPS begitu singkat. Yang tinggal hanya kenangan. – MADANINEWS