Projek PR1MA Rantau: Pembeli Teraniaya, Serahan Kunci Masih Tertangguh

PEMBELI kediaman PR1MA Residensi Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan terus kecewa apabila projek yang sepatutnya siap pada Januari 2019 masih belum diserahkan kunci. Projek yang dimulakan pada 2017 itu melibatkan 766 unit rumah berharga antara RM165,000 hingga RM240,000.
Menurut salah seorang pembeli, Hamidi Shamsuddin, pemaju telah beberapa kali berjanji untuk menyiapkan projek ini, namun janji tersebut tidak pernah ditepati dan keadaan ini menyebabkan ramai pembeli tertekan, dengan ada yang bercerai dan ada yang telah meninggal dunia sebelum sempat menduduki rumah tersebut.
Pembeli berharap agar rumah dapat disiapkan sebelum Aidilfitri tahun ini memandangkan hanya kurang dua peratus lagi kerja yang berbaki. Mereka juga mendesak agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri mempercepatkan proses Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Selain itu, mereka mahu PR1MA segera membayar Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) untuk meringankan beban kewangan mereka.
Dalam satu pertemuan antara wakil PR1MA dan pembeli hari ini yang dibantu oleh ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker, PR1MA memberi jaminan bahawa projek ini akan diselesaikan pada suku pertama 2025 dengan penyerahan kunci sebelum akhir Mac.
Namun, masih terdapat tujuh isu teknikal yang perlu diselesaikan sebelum kunci boleh diserahkan.
Mengenai pembayaran LAD, PR1MA sebelum ini telah menawarkan pembayaran pada Disember 2024, tetapi kemudian mengeluarkan notis baharu pada Februari 2025 menyatakan bahawa pembayaran hanya akan dibuat selepas projek siap sepenuhnya.
ADUN Labu tidak bersetuju dengan keputusan ini dan menuntut PR1MA membuat pembayaran dalam tempoh seminggu.
Sekiranya PR1MA gagal menunaikan komitmen yang dipersetujui, isu ini akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan serta Dewan Rakyat untuk tindakan lanjut.
Pembeli juga bimbang masalah sama akan berulang dalam projek PR1MA lain sekiranya tidak ditangani dengan tegas.
Wakil PR1MA yang hadir dalam perbincangan itu memaklumkan bahawa satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MADANINEWS