"Kita tidak patut takutkan PAS, ia taktik DAP 'momok'kan parti itu," kata bekas pemimpin MCA | Madani News

“Kita tidak patut takutkan PAS, ia taktik DAP ‘momok’kan parti itu,” kata bekas pemimpin MCA

“Kita tidak patut takutkan PAS, ia taktik DAP ‘momok’kan parti itu,” kata bekas pemimpin MCA

UMUM mengetahui parti DAP sering melabelkan PAS sebagai parti Islam yang ekstrem sehingga perlu dijauhi oleh masyarakat Cina kerana dikatakan akan menyusahkan kehidupan mereka jika parti itu memerintah.

Walaupun terbukti masyarakat Cina di negeri-negeri di bawah yang dikuasai PAS seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu dapat hidup dengan aman dan tiada masalah tetapi ia belum cukup menjadi bukti untuk DAP menerima hakikat tersebut.

Bagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya yang juga bekas ahli MCA, Datuk Lee Hwa Beng, orang Cina tidak patut ‘tunduk’ kepada taktik DAP yang menimbulkan ketakutan terhadap PAS.

Lee Hwa Beng

Lee berkata PAS ibarat digambarkan sebagai ‘momok’ secara tidak adil dalam masyarakat Cina, malah beliau menganggap lebih strategik untuk membentuk ikatan dengan parti itu memandangkan landskap politik kini, katanya dalam episod audio siar bekas menteri undang-undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim,

“Kita hidup dalam negara majoriti Melayu. Kita adalah minoriti. Kita tidak patut takutkan PAS.

“Selagi kita takutkan PAS, kita tidak akan merasai kehidupan baik (di Malaysia),” kata bekas pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang itu, lapor FMT.

Zaid sebelum ini berkata, PAS kini menjadi pilihan pengundi Melayu apabila menggantikan Umno sebagai parti utama.

“Kenapa MCA tidak boleh lebih rapat dengan PAS? Selama 40 tahun, anda rapat dengan Umno kerana Umno pemimpin orang Melayu. Memang masuk akal ketika itu.

“Tetapi hari ini pemimpin Melayu adalah PAS. Kenapa MCA tidak boleh pergi memenangi hati orang Melayu bersama PAS?”

Bagaimanapun, Lee berkata MCA pernah bekerjasama dengan PAS sebelum ini, cuma tidak secara terbuka kerana menjadi ‘pantang untuk kebanyakan parti berasaskan Cina termasuk DAP’.

Zaid menyifatkan pantang itu akibat ‘propaganda DAP’, dan menolak pandangan bahawa PAS mahu mengislamkan negara ini.

“PAS mahu menjadi lebih Islamik terhadap orang Islam. Saya tidak fikir PAS mahu mengislamkan orang Cina.

“Mereka mungkin tidak begitu liberal atau terbuka, tetapi ini kerana mereka mahu melindungi orang Islam. Mereka tidak berminat mengislamkan anda,” katanya merujuk kepada bukan Muslim. – MADANINEWS