Kerajaan Madani belanja RM44 juta setahun ke luar negara, lebih tinggi berbanding zaman Najib – Shahidan

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kos lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri kabinetnya ke luar negara yang dilaporkan mencecah jumlah RM44 juta dalam tempoh setahun.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, kos berkenaan adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah sama dibelanjakan sepanjang tempoh lima tahun ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri.
Oleh itu dia menuntut penjelasan apakah angka ini adalah tepat ataupun sebaliknya.
“Semasa saya menjadi menteri dulu, menteri di jabatan perdana menteri, jumlah keluar negara iaitu terdiri daripada perbelanjaan menteri Kabinet dan juga perdana menteri keluar negara pada masa itu selama lima tahun 2008 sehingga 2013 sebanyak RM44 juta.
“Yang berhormat Nga Kor Ming (ahli Parlimen) Taiping ketika itu mengecam dan terkejut kos perbelanjaan menteri Kabinet Najib RM44 juta.
“Saya pun terkejut, tapi hari ini saya lagi terkejut, sekarang kerajaan Madani belanja RM44 juta untuk setahun sahaja,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini, memetik laporan Malaysiakini.
Shahidan bagaimanapun gagal memaklumkan jumlah kos lawatan luar negara Najib dan rombongannya dalam tempoh lima tahun bernilai RM44.1 juta tidak mengambil kira lawatan oleh menteri kabinet lain yang di bawah pentadbirannya.
Sebelum ini, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada soalan Nga juga tidak mendedahkan atau memperincikan jumlah atau bilangan perjalanan bagi tempoh antara Mac 2008 dan Mei 2013 tersebut.
Terdahulu dalam jawapan bertulis di Parlimen Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mendedahkan kerajaan telah membelanjakan RM44 juta bagi kos 236 lawatan rasmi ke luar negara termasuk oleh perdana menteri.
Zaliha berkata ia membabitkan lawatan menteri untuk menghadiri mesyuarat berkala dan berjadual melibatkan Malaysia sebagai negara anggota dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Berdasarkan jawpan bertulis itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan paling banyak lawatan ke luar negara dengan 39 lawatan, diikuti Anwar (19), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz (18), dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Tiong King Sing (15). – MADANINEWS