Harga padi: Pesawah kecewa kerajaan ‘senyap’ lepas terima memorandum. Nak tunggu sampai bila?

SELEPAS dijanjikan akan diambil tindakan berikutan ramai pesawah seluruh negara mengadu terjejas akibat daripada kenaikan kos dan pengurangan harga belian padi, sehingga kini tiada sebarang berita atau maklum balas diambil oleh Kerajaan Madani yang dikatakan ‘pembela nasib rakyat.’
Selepas seminggu memorandum dihantar oleh 10 wakil pesawah dari seluruh negara yang bersusah payah datang ke Putrajaya, tiada sebarang maklum balas atau tindakan diambil oleh mana-mana pihak, sama ada dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau Kementerian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, beliau mewakili pesawah-pesawah seluruh negara kecewa dengan keadaan itu kerana telah menyerahkan memorandum kepada wakil PMO dan wakil menteri KPKM pada 27 Januari lalu.
Beliau berkata, pihaknya telah meminta satu garis masa agar maklum balas dapat diberikan memandangkan pesawah-pesawah di utara akan memasuki musim menuai padi.
“Tapi setakat ini kami masih belum terima apa-apa keputusan tentang permohonan kami. Oleh sebab itu pesawah-pesawah ini masih bersuara,” katanya ketika ditemui di Program Himpunan Pesawah menuntut kenaikan harga padi di Bukit Besar, Yan hari ini yang dihadiri kira-kira 150 pesawah.
Sinar Harian melaporkan, sehubungan itu, pihak pertubuhan akan ke Putrajaya untuk mengetahui perkembangan perbincangan mengenai memorandum yang dihantar.
“Saya dengar mereka tengah berbincang, tetapi tak tahu setakat mana ia dibincangkan. Alasan sedang berbincang itu sudah kerap kali kami dengar.
“Lagipun sehingga kini tidak ada satu pun kenyataan balas daripada pihak PMO atau KPKM,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, baru-baru ini pihak pengilang telah menaikkan harga belian padi kepada RM1,500, namun ia bukan jaminan kerana tiada satu ketetapan rasmi daripada kerajaan.
“Memang ada kilang yang naikkan harga tetapi ada juga kilang yang tidak mampu, jadi mereka masih membeli pada harga yang rendah.
“Jadi di sini sudah berlaku ketidakadilan kepada pesawah kerana harga yang dibeli berbeza-beza sedangkan mereka mengalami peningkatan kos yang sama. Oleh sebab itu kami minta kerajaan tetapkan harga padi pada RM1,800,” katanya
Jelasnya, jumlah itu telah mengambil kira segala kos kenaikan ketika ini termasuk diesel dan kami bukannya suka-suka meletakkan harga terbabit.
“Tak ada orang yang buat bendang sebab nak rugi. Sepatutnya ketika pelaksanaan penyasaran diesel sebelum ini kerajaan juga perlu membuat satu kaji selidik atau penilaian untuk tengok bila buat penyasaran diesel itu apa kesannya kepada pesawah,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata, siri demonstrasi yang diadakan ini akan diteruskan selagi tiada kata putus daripada pihak kerajaan mengenai gesaan mereka.
“Hari ini adalah siri ke-17 sejak 11 Januari lalu. Saya difahamkan esok akan ada juga demonstrasi. Kami bukannya memberontak tetapi mahu menyuarakan isi hati yang sudah lama dipendam.
“Lebih sedih lagi bila Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar kata kami hanya kejar harga berbanding hasil, sedangkan kami sangat tersepit,” ujarnya.