Tindakan sebar maklumat tak sahih demi kejar populariti boleh ganggu siasatan – KPN

KETUA Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan, tindakan segelintir pihak yang mengejar populariti dengan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung sesuatu isu di media sosial termasuk berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir, boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Katanya, pihak polis berusaha melaksanakan yang terbaik bagi memastikan undang-undang ditegakkan.
“Saya khuatir pada ketika ini, tindakan segelintir rakyat yang sentiasa inginkan populariti dengan mengeluarkan perkara atau menularkan isu melalui video di laman sosial seperti TikTok dan sebagainya.
“Ini sekali gus memberikan gambaran yang tidak betul mengenai kes yang sedang berjalan seperti kes Zara ini,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Sementara itu beliau berkata, tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia dalam siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu tersebut sekiranya didapati berlaku pelanggaran peraturan.
Beliau berkata, siasatan sudah dimulakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta pasukan khas yang ditubuhkan bagi kes itu.
“Kita menyiasat segala perkara yang ditetapkan mengikut lunas undang-undang dan SOP (prosedur operasi standard). Jika ada perkara bertentangan, kita akan ambil tindakan terhadap pegawai berkaitan.
“Beberapa tindakan perlu kita kaji dari sudut tatatertib dan saya pun sudah minta Pengarah JIPS mengambil tindakan yang perlu berdasarkan sejauh mana berlakunya perlanggaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, hasil siasatan itu akan menentukan tindakan seterusnya yang boleh diambil pihaknya mengikut undang-undang sedia ada.
“Jika ada berlaku beberapa kesilapan, itu perlu dikaji dari sudut tatatertib. Kita akan membuat perkara yang sepatutnya seperti mana ditetapkan oleh peraturan dan juga undang-undang,” katanya.