“Doktor juga miskin” – Wira tidak didendang, kini terasa seperti ‘dikhianati’

“DOKTOR tergolong dalam B40 sekarang.”
Kenyataan ini bukan lagi andaian. Ia datang terus dari mulut bakal Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Thirunavukarasu Rajoo. Berdasarkan kajian ke atas 1,800 orang doktor, hampir 30 peratus berada dalam kategori B40. Sebanyak 30 peratus lagi hanya ‘cukup makan’, dan hanya 10 peratus dianggap benar-benar berjaya dari segi ekonomi.
“Kita dapati hanya 10 peratus yang benar-benar berjaya dari segi ekonomi. Manakala doktor dalam kategori B40 pula hampir 30 peratus. Lagi 30 peratus hanya cukup makan… Kita ada data ini,” kata Thirunavukarasu dalam ucapannya semasa protes doktor di Putrajaya hari ini.
Hari ini Thirunavukarasu mengetuai protes menentang pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 oleh kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 Mei.
Apa sudah jadi dengan kerjaya yang satu ketika dahulu dianggap sebagai simbol kestabilan dan prestij ini?
Selama ini, masyarakat memandang doktor sebagai golongan elit – kereta besar, rumah selesa, dan pendapatan tinggi. Namun, di sebalik senyuman profesional itu tersembunyi cerita penat lelah tanpa penghargaan yang setimpal.
Ramai doktor muda, terutama yang dalam sistem kontrak kerajaan, menerima gaji pokok sekitar RM2,947 sebulan – angka yang tidak lagi mencukupi dalam dunia pasca pandemik yang serba mahal. Sebahagian mereka melakukan kerja tambahan (locum), menjadi tutor, malah memandu e-hailing untuk menampung hidup.
Ada yang bekerja sehingga 16 jam sehari, tanpa rehat yang cukup, hanya untuk mengelak dihimpit hutang. Ironinya, mereka inilah barisan pertama semasa pandemik COVID-19. Mereka merawat tanpa henti, mengurus pesakit tanpa cuti, tetapi hari ini… masih tergolong dalam golongan berpendapatan rendah.
Paparan harga ubat – tekanan tambahan di saat terhimpit
Isu kemiskinan doktor kini menjadi semakin pedih apabila kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2025 yang mewajibkan klinik dan farmasi memaparkan harga ubat.
Tujuannya jelas – demi ketelusan harga untuk pengguna. Namun, pelaksanaannya menjadi kacau bilau.
Minggu lalu, doktor-doktor swasta terkejut apabila pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri mula menyerbu klinik dan mengeluarkan notis tiga hari kepada mereka, walaupun menteri sebelum ini menjanjikan tempoh bertenang selama tiga bulan.
Mereka berasa dikhianati.
Malah, beberapa pakar undang-undang mempersoalkan kesahihan tindakan penguatkuasaan itu kerana bidang kuasa sebenar bukan di bawah Kementerian Kesihatan, tetapi sepenuhnya di bawah Akta 723 yang ditadbir Menteri Perdagangan Dalam Negeri.
Apakah ini bentuk layanan yang wajar kepada sektor kesihatan swasta yang selama ini turut membantu merawat rakyat, terutama ketika hospital kerajaan sesak?
Miskin, ditekan, dan kini dipersalahkan?
Dalam diam, ramai pengamal perubatan kini tertekan. Ditekan dari segi kewangan, ditekan dengan beban kerja yang tinggi, dan kini ditekan pula dengan undang-undang yang tidak jelas hala tujunya. Doktor bukan lagi dianggap penjaga nyawa, tetapi seperti peniaga biasa yang perlu berdepan pemeriksaan mendadak dan notis undang-undang.
Lebih memilukan, tatkala doktor dihukum kerana tidak memaparkan harga ubat tepat pada waktunya, ada pihak lain yang menikmati peruntukan dan projek jutaan ringgit tanpa dipersoalkan keterbukaannya.
Apa gunanya melahirkan ribuan doktor setiap tahun jika negara gagal menjaga mereka selepas itu? Apa maknanya kemajuan kesihatan jika wira-wira penjaganya sendiri menjadi mangsa sistem?
Doktor bukan mesin. Mereka manusia. Mereka juga layak hidup bermaruah.
Jika hampir satu pertiga daripada mereka kini tergolong dalam B40, maka kegagalan ini bukan milik mereka – tetapi milik kita semua.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews