Isu Petronas-Petros: Politik minyak kerajaan pusat-negeri. 'Menang jadi arang, kalah jadi abu' | Madani News

Isu Petronas-Petros: Politik minyak kerajaan pusat-negeri. ‘Menang jadi arang, kalah jadi abu’

Isu Petronas-Petros: Politik minyak kerajaan pusat-negeri. ‘Menang jadi arang, kalah jadi abu’
Gambar hiasan dari laman web Petronas

PENYATAAN Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bahawa beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencapai “komitmen bersama” untuk menyelesaikan isu pertikaian antara kerajaan negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) seharusnya disambut baik.

Kenyataan itu seharusnya membuka bab baharu dalam hubungan persekutuan-negeri yang selama ini tegang dalam sektor minyak dan gas dan boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi negara dan Sarawak bak kata pepatah “menang jadi arang, kalah adi abu.”

Ketetgangan isu ini semakin ketara apabila PETRONAS menerima notis undang-undang dari Sarawak yang operasi anak syarikatnya, PETRONAS Carigali, yang didakwa tidak berlesen di bawah Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016.

Mahkamah Tinggi Kuching juga telah menolak permintaan injunksi PETRONAS terhadap saman PETROS. Perkembangan ini menunjukkan Sarawak bukan lagi sekadar pemain pinggiran tetapi pemegang taruh utama yang bersedia menggunakan instrumen undang-undang untuk menuntut haknya.

    Namun, panggilan telefon antara dua pemimpin tertinggi negara itu mencerminkan kesediaan untuk meredakan konflik melalui saluran politik — satu langkah pragmatik demi kestabilan nasional dan ekonomi, terutama ketika sektor tenaga kekal sebagai enjin utama pendapatan negara.

    Pendekatan “menang-menang” seperti yang disebut Abang Johari mungkin lebih sukar dilaksanakan daripada yang disuarakan, kerana ia melibatkan dua tafsiran perundangan yang bertentangan: Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memihak kepada PETRONAS, dan Ordinan Negeri Sarawak 2016 yang memberi kuasa pelesenan kepada kerajaan negeri.

      Dengan Sarawak kini memainkan peranan agregator gas melalui PETROS, ada implikasi langsung kepada struktur kawal selia dan aliran hasil — bukan sahaja untuk negeri itu, tetapi juga untuk PETRONAS sebagai syarikat minyak nasional.

      Sarawak, di bawah pimpinan Abang Johari, konsisten menuntut lebih banyak kuasa autonomi — bukan hanya dalam bidang pendidikan dan kewangan, tetapi kini secara agresif dalam sektor minyak dan gas. Penyertaan lebih besar Sarawak dalam industri ini bukan sahaja memperkukuh ekonomi negeri, tetapi juga menaikkan kedudukannya dalam hierarki politik Malaysia.

      Isyarat kepada Pelabur dan Dunia Luar
      Anwar menyeru semua pihak agar menangguhkan tindakan dan kenyataan, satu gesaan yang barangkali ditujukan untuk mengawal naratif awam dan memastikan persepsi pelabur tidak tergugat. Ketidakstabilan dalam peraturan dan pertikaian antara PETRONAS dan PETROS boleh memberi kesan kepada pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam sektor tenaga.

      Pertikaian yang semakin meruncing antara Petronas dan kerajaan Sarawak itu dilaporkan telah menggugat keyakinan pelabur asing, susulan tindakan mengejut syarikat minyak AS, ConocoPhillips menarik diri daripada projek utama minyak dan gas laut dalam di luar pesisir Malaysia Timur.

      Syarikat Amerika itu dilaporkan berundur secara senyap daripada usaha sama dengan Petronas di medan minyak dan gas Salam-Patawali — sebuah projek bernilai RM13.7 bilion (US$3.13 bilion) yang ditemui pada 201.

      Kenyataan Abang Johari ini mungkin sedikit meredakan ketegangan. Tetapi adakah penyelesaian yang dibincangkan antara Sarawka dan Kerajaan Pusta nanti hanya satu gencatan senjata sementara atau langkah pertama ke arah penstrukturan semula hubungan persekutuan-negeri dalam pengurusan sumber asli?

        Sekiranya komitmen ini berjaya menghasilkan satu model perkongsian hasil dan operasi yang adil, ia bukan sahaja menjadi penanda aras baharu untuk Sarawak dan Sabah, tetapi juga membentuk semula landskap federalisme ekonomi di Malaysia.

        Kesimpulannya isu PETRONAS–PETROS ini telah berubah daripada pergelutan undang-undang kepada rundingan politik tertinggi. Namun, jalan menuju “penyelesaian menang-menang” yang harmoni bukan sekadar memerlukan keikhlasan, tetapi juga reformasi institusi dan keberanian politik untuk menyusun semula pengurusan sumber negara secara inklusif dan berkeadilan.

        MADANI NEWS
        KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
        Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews