Ratusan ribu huffaz TVET MARA berhimpun di Masjid Wilayah
KUALA LUMPUR – Ratusan ribu Huffaz dan Huffazah TVET membanjiri Masjid Wilayah Persekutuan pada Ahad, 1 Mac 2026 bersamaan 1 Ramadan 1447H, dalam satu perhimpunan mega yang menghimpunkan warga institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Program berkenaan turut melibatkan seluruh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dari seluruh negara, agensi-agensi seliaan MARA serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Majlis diisi dengan taklimat mengenai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di institusi bawah MARA. Selain itu, turut diadakan pameran kerjaya, sesi motivasi, pameran teknologi kecerdasan buatan (AI) serta ceramah pembangunan kerjaya.

Inisiatif Huffaz TVET MARA terus membuktikan kejayaannya melahirkan para huffaz yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran, malah memiliki kemahiran teknikal dalam pelbagai bidang seperti minyak dan gas, elektrik dan elektronik, penyelenggaraan pesawat, reka bentuk moden, kecerdasan buatan serta keusahawanan teknologi.
Antara pencapaian membanggakan termasuk seorang huffaz yang kini berkhidmat di syarikat teknologi antarabangsa Tesla, lima individu bergelar jutawan teknokrat, selain pakar dalam industri minyak dan gas serta bidang profesional lain.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan yang dicapai oleh Huffaz TVET MARA. Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa integrasi pendidikan agama dan kemahiran teknikal mampu melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat global.
Turut hadir Pengerusi MARA, pegawai-pegawai kanan MARA dan kementerian yang bersama-sama beramah mesra dengan para pelajar, menyampaikan sumbangan serta berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Majlis berakhir dalam suasana penuh semangat dan ukhuwah, mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa generasi huffaz berkemahiran tinggi negara.
- ARTIKEL sumbangan Razali Abd Razak @ Wahab
