Peluru berpandu Patriot AS jatuh di kawasan perumahan Bahrain
SUMBER berita Bahrain melaporkan satu peluru berpandu pemintas Patriot milik sistem pertahanan Amerika Syarikat (AS) jatuh ke atas kawasan kediaman di negara Arab itu, mengakibatkan beberapa orang awam cedera, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
Media Bahrain pada Isnin melaporkan bahawa peluru berpandu Patriot milik sistem pertahanan udara AS yang ditempatkan di negara itu mengalami kerosakan teknikal sebelum jatuh ke atas rumah milik penduduk Bahrain.
Insiden yang menyebabkan beberapa individu cedera itu berlaku selepas sistem pertahanan diaktifkan untuk menangkis serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan AS di rantau itu, termasuk Pangkalan Udara Isa di selatan Bahrain, sejak Ahad malam.
Media Bahrain turut melaporkan bahawa pengerahan sistem Patriot AS di kawasan kediaman dan berhampiran kawasan kejiranan awam berpunca daripada kebimbangan Washington bahawa sistem itu menjadi sasaran peluru berpandu canggih Iran.
— AGENSI
