BERSATU semakin parah: 11 Bahagian Johor umum bubar serta-merta
KEMELUT dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia dilihat semakin meruncing apabila 11 daripada 26 bahagian di Johor mengumumkan pembubaran struktur kepimpinan masing-masing berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Bahagian terlibat ialah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Pulai.
Pengumuman dibuat wakil ketua bahagian negeri yang diketuai Ketua Bahagian Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid, susulan krisis kepimpinan parti yang didakwa semakin serius dan gagal ditangani secara berkesan oleh pucuk pimpinan.
Menurut beliau, pembubaran berlaku apabila lebih separuh jawatankuasa bahagian meletakkan jawatan sehingga struktur organisasi tidak lagi dapat berfungsi.
“Kami amat sayang kepada parti, namun di persimpangan ini kami terpaksa membuat keputusan berani demi perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Krisis kepimpinan berlarutan termasuk pemecatan pemimpin kanan dan Ahli Parlimen menyebabkan hala tuju parti semakin kabur serta kepercayaan ahli dan pengundi semakin terhakis,” katanya pada sidang media di Simpang Renggam yang dihadiri kira-kira 100 ahli.
Beliau turut mendakwa kegagalan Presiden parti, Muhyiddin Yassin, dan Pengerusi Badan Perhubungan Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, menyatukan kepimpinan bahagian menyebabkan keyakinan terhadap parti terus merosot, lebih-lebih lagi menjelang cabaran politik di negeri itu.
Isa memaklumkan dua bahagian — Mersing dan Labis — telah menghantar surat rasmi pembubaran kepada Setiausaha Agung parti, Azmin Ali, manakala bahagian lain dijangka menyusul dalam masa terdekat.
Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak bahagian akan mengambil langkah sama jika krisis berterusan.
Sementara itu, bekas Ketua Bahagian Johor Bahru yang dipecat, Datuk Zulkifli Bujang, berkata kumpulan terbabit tidak akan bergerak secara individu, sebaliknya akan membuat keputusan secara kolektif sekiranya menerima tawaran daripada parti lain.
“Kami tidak bergerak bersendirian. Apa juga keputusan selepas ini akan dibuat secara bersama. Perjuangan kami tetap sama, cuma platform mungkin berbeza,” katanya.
Perkembangan ini menandakan tekanan dalaman yang semakin ketara dalam parti berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kestabilan organisasi dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik akan datang. – MADANI NEWS
