“Ada yang balik bertongkat, berbalut dan cedera..,” – Nafuzi Zain hargai pengorbanan pemain Malaysia B-23 sumbang gangsa
PENGENDALI pasukan bola sepak Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain menzahirkan penghargaan buat seluruh pemain skuad itu yang berkorban demi mengharumkan negara di peringkat antarabangsa.

Penghargaan itu dizahirkan beliau selepas aksi penentuan pingat gangsa Sukan SEA 2025 antara Malaysia B-23 dan Filipina.
Malaysia B-23 meraih pingat gangsa dengan menewaskan Filipina 2-1. Gol Danish Hakimi Sahaludin dan Haqimi Azim Rosli memastikan pingat gangsa dalam genggaman buat kali pertama sejak 2005.
Meskipun berdepan pelbagai isu termasuk kecederaan dan penggantungan perlawanan, itu bukan halangan buat anak buah Nafuzi.
Atas sebab itu, bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu menzahirkan penghargaan buat para pemain yang berkorban demi negara.
“Perjuangan pemain itu yang patut dihargai. Ada yang balik bertongkat, tangan berbalut dan ada yang cedera. Segala penat lelah berhasil untuk negara,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Nafuzi turut mendedahkan kekalahan lalu di tangan Filipina menjadi pembakar semangat buat anak buahnya untuk memburu kemenangan di Stadium Rajamangala.
Ini kerana sebelum ini, Malaysia B-23 pernah tewas kepada Filipina dalam aksi peringkat kumpulan ASEAN B-23 Mandiri Cup.
“Percaturan boleh dibuat berdasarkan pemain yang ada untuk mendapatkan kemenangan (ke atas Filipina),” ujarnya.
“Motivasi mereka sangat tinggi. Mereka mahu membalas dendam atas kekalahan lalu (dalam saingan ASEAN B-23 Mandiri Cup).”
Pencapaian pingat gangsa Malaysia B-23 bukan saja menggembirakan penyokong negara. Malah, jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski juga bangga dengan pencapaian skuad muda negara. – MADANI NEWS
