Syed Saddiq tamatkan cabaran Ironman bawah 13 jam, RM1 juta untuk Muar
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan cabaran Ironman Malaysia 2025 di Langkawi hari ini dengan catatan masa bawah 13 jam.
Berdasarkan perkongsian di Facebook, Syed Saddiq mencatat masa 12 jam 22 minit sekali gus meraih sumbangan RM1 juta bagi penduduk Parlimen Muar.

“Terima kasih,” ucap beliau menerusi satu hantaran video ringkas memaparkan dirinya menamatkan cabaran itu sebentar tadi yang dikongsikan di Facebook.
Video berdurasi 25 saat itu juga menunjukkan Syed Saddiq menangis kegembiraan sebaik melepasi garisan penamat.
Terdahulu media melaporkan, Ahli Parlimen berusia 33 tahun itu bertekad menamatkan acara sukan lasak terulung negara, Ironman Malaysia 2025 dengan catatan masa bawah 13 jam.
Usaha itu dilakukan bagi meraih sumbangan RM1 juta yang dijanjikan untuk disalurkan kepada penduduk Muar sekiranya beliau berjaya menamatkan cabaran berkenaan.
Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyahut cabaran berkenaan yang dilontarkan syarikat pengeluar fesyen tempatan, Prima Valet (PV).
Menerusi perkongsian di laman Facebook dan aplikasi TikTok kelmarin, Syed Saddiq menegaskan cabaran itu disahut demi kepentingan rakyat dalam usaha membantu penduduk di kawasannya. – MADANI NEWS
