MCMC nafi syarat 80 peratus kandungan tempatan kena mansuh
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan bahawa Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80 peratus kandungan tempatan susulan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Bernama melaporkan MCMC sebagai berkata dakwaan berkenaan yang dibuat oleh seorang bekas ketua pengarang adalah tidak benar dan mengelirukan, serta tidak mencerminkan kerangka pelesenan penyiaran yang sedang berkuat kuasa di negara ini.
MCMC menjelaskan di bawah lesen Content Applications Service Provider Individual (CASP) atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tiada syarat kuota kandungan tempatan sebanyak 80 peratus dikenakan terhadap penyiar swasta di Malaysia.
“Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan masing-masing berdasarkan garis panduan serta piawaian kandungan yang ditetapkan oleh MCMC,” menurut MCMC seperti dilaporkan.
Di bawah Artikel 2.20 (penyiaran) dalam perjanjian perdagangan Malaysia-AS yang dipertikaikan itu, Malaysia dikehendaki memansuhkan syarat dalam perjanjian lesen penyiaran yang menetapkan 80 peratus siaran televisyen diperuntukkan untuk program tempatan.
Peruntukan itu juga menuntut Malaysia membenarkan penyiaran program luar negara pada waktu perdana.
MCMC turut menjelaskan lesen penyiaran di bawah AKM 1998 tidak mengandungi sebarang larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana.
Sebaliknya penjadualan kandungan tertakluk kepada keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran serta selaras dengan peraturan kandungan sedia ada.
Suruhanjaya itu juga menjelaskan kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) yang bertujuan memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan, memperkukuh pembangunan kandungan tempatan berkualiti, serta mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa.
Pagi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia-AS merugikan negara sebagai “semata-mata bermotifkan politik”.
Anwar yang juga menteri kewangan, berkata sebarang rundingan mesti melibatkan kompromi, terutamanya apabila ia melibatkan hubungan dan pelaburan besar.
Namun begitu, Malaysia tetap mengutamakan dan menjaga maruah negara, lapor Bernama.
Dia menjelaskan bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz telah memberikan penjelasan panjang dan jelas mengenai perjanjian perdagangan tersebut di Parlimen.
Ini terutamanya melibatkan Artikel 5.1 dalam perjanjian tersebut, yang dikritik apabila Amerika Syarikat dikatakan memaksa Malaysia mengikut dasar perdagangannya.
Minggu lalu, Zafrul menegaskan adanya klausa pengecualian dalam perjanjian perdagangan timbal balik itu berhubung pelaksanaan sekatan, yang menurutnya diabaikan oleh pengkritik.
Mengulas mengenai klausa dalam Artikel 5.1, yang memerlukan Malaysia mengikut dasar perdagangan AS terhadap negara lain, Zafrul menegaskan bahawa ia hanya terpakai jika perkara tersebut turut memberi kesan kepada Malaysia.
Dia turut menekankan bahawa teks perjanjian itu menyatakan langkah itu hanya diambil untuk “menangani kebimbangan ekonomi atau keselamatan negara bersama”. – MADANI NEWS
