TVET MARA, PRAC berbincang rintis kerjasama tubuh Pusat Latihan WAH bertaraf dunia

KEMAMAN – TVET MARA dan Professional Rope Access Community (PRAC) mengadakan lawatan rasmi dan perbincangan strategik di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman di sini semalam.
Perbincangan itu bertujuan merintis kerjasama ke arah penubuhan Pusat Latihan Working at Height (WAH) bertaraf dunia di kampus tersebut.
Delegasi PRAC diketuai Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Korporat, Izzat Izzuddin; Pengarah Eksekutif, Muhammad Zaim, Pengarah Eksekutif serta Pengarah Urusan, Md. Hasrizan Saadon.
Ketibaan mereka disambut oleh Pengarah KKTM Kemaman, Ts. Malib Ludin, dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik, Ts. Mohd. Halimudin Mohd. Isa.
“Sesi perbincangan memfokuskan kepada pelaksanaan program latihan bersijil berimpak tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa.
“Antara aspek utama yang dibincangkan termasuklah skop kolaborasi teknikal, pematuhan piawaian industri, serta laluan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata TVET MARA dalam satu kenyataan hari ini.
Latihan Working at Height merupakan komponen kemahiran kritikal dalam pelbagai sektor industri, khususnya dalam bidang minyak dan gas yang memerlukan tahap keselamatan dan kompetensi yang tinggi dalam pelaksanaan tugas.
Pensijilan WAH yang ditawarkan oleh PRAC telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berupaya membuka laluan kerjaya global kepada para graduan TVET MARA.
Ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah memberi kelebihan dari segi pendapatan dan prospek kerjaya dalam bidang profesional dan teknikal.
TVET MARA komited untuk memperkukuh jaringan kerjasama bersama industri dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir, kompeten dan bertaraf global selaras dengan keperluan pasaran semasa. – MADANI NEWS