Sanusi nafi Hadi mahu undur, dunia Islam masih perlukan Tok Guru | Madani News

Sanusi nafi Hadi mahu undur, dunia Islam masih perlukan Tok Guru

Sanusi nafi Hadi mahu undur, dunia Islam masih perlukan Tok Guru

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menolak khabar angin bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mahu melepaskan jawatannya.

Sebaliknya, katanya, bahawa parti Islam itu dan dunia Islam masih memerlukan ahli politik berusia 77 tahun itu, yang dikenali sebagai Tok Guru, walaupun kesihatannya semakin merosot.

“Memang kesihatan beliau sedikit merosot, tetapi beliau masih mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Malah Tok Guru sendiri pun tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berundur dalam mana-mana majlis rasmi parti pun sebelum ini.

“Tapi ada pula yang pandai-pandai buat cerita Tok Guru nak berundur,” katanya sambil mendakwa spekulasi berkenaan kerana ada pihak yang gerun dengan aura ahli Parlimen Marang itu.

Menurut Harakah, Sanusi yang juga adalah pengarah pilihan raya PAS berkata Hadi masih mampu melasanakan tugasnya sebagai presiden dengan berkesan baik dan mempunyai pandangan serta idea bernas yang diperlukan parti.

“Bukan mudah untuk mencari pemimpin yang ada idea, mental sihat dan kuat lebih daripada fizikal. Idea serta pandangan dalam pemikiran Tok Guru sentiasa relevan dan terbaik.

“Tok Guru juga bukan sekadar tokoh parti tapi berperanan besar hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sanusi berkata, semua ahli PAS seluruh Malaysia mahukan Hadi terus menjadi presiden parti itu, malah dia juga diperlukan oleh dunia Islam berdasarkan pengalamannya yang luas.

“Dunia Islam memerlukan pengalaman beliau dalam menjalin hubungan dengan badan-badan antarabangsa, menyelesaikan konflik kemanusiaan dan politik, serta memperdekatkan perbezaan antara mazhab dalam Islam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya menyalahkan Pakatan Harapan berhubung penyebaran khabar angin tersebut.

Katanya, ia adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu besar negara.

“Isu 5,000 kakitangan Petronas yang akan diberhentikan kerja, isu Muhammed Yusoff Rawther isu kelemahan urus tadbir negara dan lain-lain.

“Mereka cuba nak tutup isu-isu besar itu dan media seolah-olah sengaja dibawa untuk memainkan isu yang lain, sehingga fokus rakyat, beralih kepada isu lain,” katanya yang dipetik oleh akhbar rasmi parti itu.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews