Badi 11 tahun berakhir, Vietnam jadi korban Harimau Malaya dengan jaringan 4-0 | Madani News

Badi 11 tahun berakhir, Vietnam jadi korban Harimau Malaya dengan jaringan 4-0

Badi 11 tahun berakhir, Vietnam jadi korban Harimau Malaya dengan jaringan 4-0

MALAYSIA yang beraksi dengan beberapa pemain warisan baru berjaya menundukkan Vietnam yang merupakan antara pasukan terbaik di Asia Tenggara dengan jaringan 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam aksi terbaru kelayakan Piala Asia 2027.

Empat pemain baharu negara berada dalam kesebelasan utama iaitu Jon Irazabal, Jon Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces. Vietnam pula menurunkan tonggak berdarah Perancis-Vietnam, Jason Pendant Quang Vinh.

Sebaik permainan bermula, Malaysia memberi tekanan hebat kepada barisan pertahanan pelawat menerusi Figueiredo, Holgado dan Arif Aiman Hanapi yang berjaya membuatkan pasukan Vietnam seolah-olah terpaku dalam 10 minit pertama.

Kelincahan trio Harimau Malaya itu menyebabkan penjaga gol Pahlawan Bintang Emas, Filip Nguyen terpaksa bekerja keras menafikan percubaan-percubaan mereka.

Pemain baru Cerezo Osaka, Dion Cools hampir meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-35. Malangnya, percubaan beliau dinafikan tiang.

Vietnam kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal apabila Nguyen Thanh Chung terpaksa dikeluarkan pada minit ke-37 akibat kecederaan.

Seminit selepas itu, giliran Figueiredo pula menguji kecekapan Nguyen. Tandukan penyerang Istanbul Basaksehir itu pantas dinafikan penjaga gol Cong An Ha Noi FC (CAHN) itu.

Harimau Malaya terus berusaha memburu jaringan pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Kim Sang-sik membuat dua lagi pertukaran. Ini termasuk Pham Tuan Hai yang masuk sebagai pemain gantian.

Tatkala Vietnam cuba memperkemaskan rentak mereka, Figueiredo menceriakan kiara-kira 61,000 penonton di Bukit Jalil dan jutaan rakyat Malaysia dengan gol pertama pada minit ke-49.

Gol tersebut menyuntik semangat anak buah Peter Cklamovski untuk memburu gol kedua. Hasilnya, giliran Holgado pula menyumbat gol pertamanya pada minit ke-58 selepas mendapat hantaran cantik daripada Arif Aiman.

Vietnam yang terdesak memasukkan pemain perancang mereka, Nguyen Quang Hai sebagai pemain gantian untuk merapatkan jurang gol.

Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), La’Vere Corbin Ong menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-67.

Bintang Velez Sarsfield, Imanol Machuca diberi peluang membuat penampilan pertama buat Harimau Malaya pada minit ke-72.

Penyerang gantian Vietnam, Nguyen Tien Linh hampir menyumbat gol buat Vietnam pada minit ke-78. Malangnya, percubaan beliau mudah diselamatkan Syihan Hazmi Mohamed.

Cools memastikan kedudukan Harimau Malaya sukar dicabar menerusi tandukan padu pada minit ke-87. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia menerajui Kumpulan F dengan enam mata. Lebih menarik, skuad negara juga belum dibolosi dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 setakat ini.

Selepas ini, Vietnam akan menentang Nepal pada 9 Oktober. Harimau Malaya pula akan menentang Laos pada hari yang sama.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews