Tak perlu intip MB Terengganu, beliau sentiasa ditemani pegawai polis – Saifuddin | Madani News

Tak perlu intip MB Terengganu, beliau sentiasa ditemani pegawai polis – Saifuddin

Tak perlu intip MB Terengganu, beliau sentiasa ditemani pegawai polis – Saifuddin

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengintip pergerakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memandangkan beliau sentiasa ditemani anggota polis.

“Sebagai menteri besar, beliau sentiasa ditemani seorang pegawai polis bagi tujuan keselamatan. Tiada keperluan untuk ‘mengintip’ beliau kerana polis memang sentiasa berada bersamanya,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

Saifuddin turut mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah berada dalam senarai pengawasan pihak berkuasa antara tahun 2000 hingga 2004, namun beliau menganggapnya sebagai sebahagian daripada tugas pihak keselamatan.

“Saya memberikan kerjasama penuh dan menghormati peranan mereka. Selepas satu tempoh tertentu, nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut,” katanya.

Tambah beliau, semua individu berstatus VVIP di negara ini sememangnya berada di bawah tahap pemantauan tertentu atas alasan keselamatan. Namun, hanya Ahmad Samsuri yang secara terbuka mempersoalkan perkara tersebut.

Untuk rekod, Saifuddin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Kedah dari 2000 hingga 2004, namun tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan ketika itu.

Terdahulu hari ini, Ahmad Samsuri mendakwa beliau dikenakan pemantauan oleh Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO), termasuk tindakan pintasan talian telefon, yang menurutnya menggambarkan seolah-olah beliau seorang penjenayah berbahaya.

“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu, 100 peratus. Adakah saya diikuti walaupun atas urusan peribadi? Sudah tentu, tanpa ragu-ragu,” katanya.

Beliau turut menyatakan pemantauan tersebut menyukarkan pergerakannya merentasi sempadan, termasuk ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.

Menurutnya, TCO merupakan satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tiada kesalahan dibuktikan secara sah. – MADANI NEWS