Sin Chew Daily ambil tindakan disiplin terhadap petugas terlibat kesilapan paparan Jalur Gemilang | Madani News

Sin Chew Daily ambil tindakan disiplin terhadap petugas terlibat kesilapan paparan Jalur Gemilang

Sin Chew Daily ambil tindakan disiplin terhadap petugas terlibat kesilapan paparan Jalur Gemilang
Muka depan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 15 April 2025 yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

PETUGAS yang bertanggungjawab atas kesilapan membabitkan paparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar Sin Chiew Daily semalam akan berdepan dengan tindakan disiplin.

Sin Chew Daily dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci berkaitan insiden itu.

“Jabatan Pengarang Sin Chew Daily sudah menambah baik prosedur semakan khususnya dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Kami berjanji untuk lebih berwaspada dan peka dalam menangani isu yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengurusan Sin Chew Daily dengan sepenuh hati menerima titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan kesilapan Jalur Gemilang yang dipaparkan di muka hadapan akhbar itu.

Sultan Ibrahim hari ini bertitah, kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan (Sin Chew Daily) boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak

Terdahulu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu penyiaran Jalur Gemilang tidak lengkap hari ini.

KDN dalam kenyataan memaklumkan siasatan dilaksanakan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Semalam, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia. – BERNAMA