Polis tahan lelaki berlari bogel

SHAH ALAM – Polis menahan seorang lelaki yang berlari dalam keadaan bogel di simpang tiga Persiaran Kayangan, Seksyen 8 di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi hari ini dan tular dalam media sosial.
“Siaran media ini berikutan tular di media sosial seorang lelaki berlari dalam keadaan bogel tanpa berpakaian di simpang tiga Persiaran Kayangan, Seksyen 8, Shah Alam.
“Anggota RCJ Balai Polis Seksyen 6 menerima arahan menghala daripada Pusat Kawalan Daerah IPD Shah Alam berkaitan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, anggota polis yang digerakkan ke lokasi berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun.
“Setelah dipujuk serta ditenangkan, lelaki berkenaan berjaya dibawa balik ke Balai Polis Seksyen 6 di sini.
“Anggota Balai Polis Seksyen 6 telah memberikan pakaian kepada individu tersebut, di mana individu ini hanya boleh berinteraksi menggunakan isyarat tangan sahaja. Beliau telah menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi,” katanya.
Tambah beliau, bapa saudara remaja berkenaan telah hadir ke balai dan memaklumkan bahawa anak saudaranya itu tinggal bersamanya di Seksyen 9 Shah Alam.
“Dia juga memaklumkan anak saudaranya mengalami masalah gangguan mental dan sebelum ini telah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Individu berkenaan telah diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam,” katanya. – MADANI NEWS