Kosongkan tanah tapak masjid yang diceroboh dalam masa sebulan – JAIS

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang untuk memastikan tanah yang diwartakan bagi pembinaan masjid di Dengkil akan dikosongkan dalam masa sebulan.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya memandang serius isu pencerobohan di atas tanah milik kerajaan negeri itu.
Menurut beliau, sejak awal pewartaan dibuat, JAIS menganggap tanah berkenaan adalah kosong tanpa sebarang aktiviti atau pembinaan premis, namun keadaan sebaliknya dikesan berlaku tahun lalu.
“Namun pada 2024, JAIS telah mengesan wujud aktiviti dan pembinaan bangunan/premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada 2026.
“Sehubungan dengan itu, JAIS telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Isu pencerobohan tanah masjid itu menjadi tular selepas pihak terbabit membina kuil peribadi di atas kawasan yang diduduki.
Mohd Shahzihan berkata, surat itu dikeluarkan kerana JAIS berpandangan bahawa tindakan mengosongkan tanah boleh diambil oleh PDT Sepang berdasarkan kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 tanpa perlu laporan polis.
“Dengan tindakan ini, JAIS berpandangan bahawa laporan polis tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan pembinaan bangunan/premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAIS.
“Namun JAIS akui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat dari JAIS,” jelasnya.
Katanya lagi, pencerobohan itu tidak boleh dipandang ringan, sejajar dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar semua tanah di bawah kawalan JAIS bebas daripada sebarang bentuk pencerobohan.
Menurut beliau, JAIS juga akan menjalankan pemeriksaan terhadap semua tanah yang telah diwartakan di bawah pentadbirannya dalam tempoh satu bulan akan datang bagi memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku.
“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ianya berlaku.
“Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. JAIS akan bersama-sama PDT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam perkara ini,” katanya.
Mohd Shahzihan menjelaskan, individu yang mendiami tanah tersebut merupakan pihak yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi pembangunan Cyberjaya.
“PDT Sepang telah memberi penempatan baru bagi aktiviti individu/pihak tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL),” katanya.
Namun katanya, pada 2007, kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan tanah itu dikosongkan bagi tujuan rizab masjid, namun tindakan tersebut mencetuskan tuntutan pampasan daripada pihak yang menduduki tanah berkenaan.
“Pada 2011, kerajaan negeri telah mewartakan tanah dengan keluasan 10 ekar bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian daripada tanah tersebut adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh individu/pihak terbabit tanpa mengeluarkan mereka yang menduduki tanah,” jelasnya.
“Orang awam atau pihak-pihak yang mengetahui sebarang bentuk pencerobohan terhadap tanah di bawah kawalan JAIS juga diminta terus menyalurkan maklumat kepada JAIS atau Pihak Berkuasa Negeri, Pejabat Agama Islam Daerah atau menghubungi Talian Hotline Penguatkuasa JAIS 1-800-88-2424 untuk perhatian dan tindakan selanjutnya,” katanya. – MADANI NEWS