Isu ladang babi: PAS cabar Pemuda Amanah mandi di sungai Ayer Kuning, bukti ia tidak tercemar | Madani News

Isu ladang babi: PAS cabar Pemuda Amanah mandi di sungai Ayer Kuning, bukti ia tidak tercemar

Isu ladang babi: PAS cabar Pemuda Amanah mandi di sungai Ayer Kuning, bukti ia tidak tercemar
PERANG bendera telah melanda kawasan DUN Ayer Kuning yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru. - Gambar Bernama

PEMUDA Amanah Perak dicabar supaya ‘terjun tiruk’ ke sungai-sungai sekitar Ayer Kuning sebagai bukti air sungai di kawasan itu tidak tercemar akibat ladang babi, selepas mereka mempertikaikan kegagalan PAS menangani isu berkenaan ketika menjadi kerajaan negeri.

Cabaran itu dilontarkan oleh Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, yang menyindir Pemuda Amanah dalam satu hantaran pedas di Facebook.

“Aku nak cadang Pemuda PAN Perak mandi beramai-ramai dalam sungai kat Ayer Kuning untuk membuktikan sungainya suci lagi bersih.

“Sungai Kuala Gepai, Sungai Batang Padang, Sungai Kenjor — pilih je nak terjun kat mana. Ada berani?” tulisnya sambil menawarkan tajaan set snorkeling.

Kenyataan itu susulan video Pemuda Amanah yang ‘menyerang’ PAS kerana gagal menutup ladang babi haram di Ayer Kuning ketika menjadi sebahagian kerajaan negeri, tetapi kini menjadikan isu itu modal kempen dalam PRK Ayer Kuning.

Lebih mencuri perhatian, Nurul Islam menyelar kenyataan Pemuda Amanah yang menurutnya bercanggah dengan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) – yang baru-baru ini mendakwa tiada ladang babi di Kampung Tanjong Keramat.

“Semalam Tok Mat kata isu ladang babi ni hanya mainan pembangkang. Hari ni Pemuda PAN pula kata ‘kami dah terjah ladang babi’.

“Woi agak-agaklah, nak malukan Tok Mat pun jangan selang sehari. Timbalan Presiden UMNO kot,” katanya menyindir.

Tambahnya, lebih baik Tok Mat sendiri ikut serta dalam ‘misi menjejak ladang babi’, jika benar mahu menilai isu secara telus.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mendedahkan terdapat 30 ladang babi berlesen di daerah Batang Padang dan Muallim berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak — dan angka itu mungkin lebih tinggi jika ladang haram diambil kira.

PRK Ayer Kuning pada 26 April ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MADANI NEWS